Masih ada farmasi degil jual Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 pada harga RM40

BIARPUN kerajaan telah telah menetapkan harga runcit maksimum Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (Ujian Sendiri) sebanyak RM19.90, namun masih ada farmasi di Perlis yang berdegil apabila didapati menjual alatan itu pada harga antara RM30 hingga RM40.

Semasa pemeriksaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis ke atas 17 farmasi di negeri itu, hanya empat farmasi saja yang mematuhi arahan kerajaan tersebut.

Pengarahnya, Norazah Jaapar berkata, pihkanya memberi tempoh sehingga 12 September ini kepada premis terlibat untuk mematuhi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, 13 premis itu didapati menjual kit ujian sendiri itu pada harga antara RM30 hingga RM40.

“Namun peniaga terbabit diberikan kelonggaran bagi menghabiskan stok sedia ada dan diberi tempoh sehingga 12 September ini untuk mematuhi harga runcit maksimum itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KPDNHEP menguatkuasakan harga runcit maksimum Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (Ujian Sendiri) sebanyak RM19.90 manakala RM16 bagi harga borong maksimum (seunit) bermula Ahad lalu.

Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (Ujian Sendiri) adalah kit ujian yang digunakan bagi pengesanan antigen Covid-19 menggunakan sampel bendalir mulut atau ujian ‘swab’ hidung.

Mengulas lanjut, Norazah berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang didapati masih menjual barangan berkenaan melebihi harga maksimum selepas tarikh berkenaan.

Ujar beliau, KPDNHEP akan mengambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 terhadap peniaga yang ingkar.

“Individu boleh dikenakan penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM100,000 atau kompaun sehingga RM50,000.

“Selain itu, denda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000 bagi syarikat yang didapati gagal mematuhi peraturan berkenaan,” tambahnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *