Normala Sudirman

Langkah KPM melarang guru tidak divaksin mengajar adalah tepat

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

LANGKAH Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melarang 2,500 guru yang masih tidak divaksinkan untuk mengajar secara bersemuka adalah tepat bagi memastikan keyakinan masyarakat dan menghakis kebimbangan ibu bapa.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Pendidik Ummah Malaysia (Pendidik), Normala Sudirman
berkata, pendekatan itu dapat mengurangkan risiko penularan pandemik Covid-19 apatah lagi pelajar terutama di sekolah rendah tidak mempunyai imuniti yang tinggi.

“Pendidik menggesa KPM bertindak tegas terhadap warga pendidik yang sengaja membelakangkan arahan atau engkar perintah terhadap etika perkhidmatan awam dan profesionalisme keguruan kerana guru perlu menjadi contoh teladan kepada murid, ibu bapa dan masyarakat.

“Saya optimis dan percaya jika sesi kaunseling, diberi penerangan penuh hikmah dan langkah sewajarnya diambil oleh KPM untuk mengikis ketidakyakinan segelintir guru yang enggan divaksin, sudah pasti sedikit masalah keengganan guru menerima vaksin dapat diatasi.

“Ini memerlukan hasil kerjasama secaraa kolektif semua pihak yang berauthoriti. Apa yang penting, isu ini perlu diselesaikan dengan penuh hikmah ibarat menarik rambut di hujung tepung. Rambut tidak putus ,tepung tidak berselerak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 3 September lalu KPM menetapkan guru yang enggan menerima vaksin tidak akan dibenarkan mengajar secara bersemuka dalam kelas serta berinteraksi dengan pelajar apabila sesi persekolahan dibuka pada 3 Oktober ini.

Menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, KPM akan mengeluarkan garis panduan mengenai tugasan guru-guru yang tidak divaksin dan sedang
berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai tindakan terhadap guru yang enggan mendapatkan vaksin.

Mengulas lanjut, Normala berkata, Pendidik menyambut baik langkah dan ketegasan KPM itu namun bagi guru yang enggan mengambil suntikan vaksin kerana memiliki masalah kesihatan, mereka perlu dikecualikan.

“Jika guru berkenaan mempunyai masalah kesihatan, alahan, kehamilan atau faktor tertentu, mereka mesti jujur dan berterus terang memaklumkan situasi ini supaya KPM boleh membantu mencadangkan solusi terbaik demi kebaikan semua pihak dan warga sekolah,” katanya.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai guru selama 13 tahun berharap, isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik kerana ada masalah lain dalam bidang pendidikan perlu diutama dan diselesaikan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *