Kenapa pembangkang beria-ia mahukan undi percaya?

APAKAH mungkin Malaysia akan menyaksikan sekali lagi pertukaran Perdana Menteri? Persoalan itu dibangkitkan kerana penulis melihat apa yang sedang dilalui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin mula mendatangi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

‘Ancaman’ terbesar kepada Perdana Menteri ialah undi percaya yang mula didesak oleh parti-parti pembangkang mahu ia diadakan walaupun Menteri di Jabatan Perdana Datuk Seri Wan Junaidi Tunku Jaafar hari ini memberitahu dalam mesyuarat Kabinet, Ismail Sabri sudah memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong memperkenankan proses itu tidak dijalankan.

Kenyataan Wan Junaidi itu biarpun ditolak oleh seorang ahli Parlimen PKR menganggap ia ‘hearsay’ dan bukannya daripada mulut Yang di-Pertuan Agong.

Penulis boleh faham kenapa Ahli Parlimen itu tidak mahu menerimanya tetapi tidak mungkin Ismail Sabri akan berbohong apatah lagi menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong.

Lagi pula kenyataan Istana Negara pada 20 Ogos lalu tidak menyebut mengenai proses keabsahan itu walaupun ia disebut dalam kenyataan pada 18 Ogos. Sebaliknya dalam kenyataan pada 20 Ogos yang dikeluarkan oleh Dato’ Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dengan jelas menyatakan;

’Dari surat-surat akuan tersebut seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob (Ahli Parlimen Bera), jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan.

‘’Susulan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam, 19 Ogos 2021, untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

‘’Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob (Ahli Parlimen Bera) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-sembilan.

’Proses seterusnya ialah lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan pada 21 Ogos 2021 (Sabtu), jam 2.30 petang, di lstana Negara.’’

Dalam kenyataan terbaru ini tidak disebutkan proses seterusnya ialah melaksanakan undi percaya di Dewan Rakyat, sebaliknya ’’Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan kesemua Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat dan negara.’’

Kenapa tidak ada mana-mana pemimpin pembangkang bercakap soal kenyataan pada 20 Ogos lalu itu? Kenapa hanya bercakap soal kenyataan 18 Ogos? Malah pakar-pakar perundangan juga berpendapat proses keabsahan itu tidak perlu dilakukan lagi.

Pakar Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof tiada  keperluan untuk pembangkang mempertikaikan keabsahan Perdana Menteri dan penilaian dibuat Yang di-Pertuan Agong dalam memilih perdana menteri menerusi usul undi percaya di Dewan Rakyat.

Katanya, ini memandangkan keabsahan seseorang perdana menteri itu wujud apabila beliau telah dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong, mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani Surat Cara Pelantikan.

Perdana Menteri yang ada sekarang telah melalui kesemua proses itu, katanya.

“Selepas lalui proses itu maka Perdana Menteri dapat keabsahan untuk laksana tanggungjawab. Kalau kita kata perlu tunggu usul undi percaya di Dewan Rakyat baru dapat keabsahan, maknanya arahan perdana menteri sebelum pengesahan di Parlimen itu tidak sah dan kedudukannya boleh dipertikai.

“Bahkan (kedudukan) menteri-menteri pun boleh dipertikai kerana perdana menteri yang nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk melantik mereka, jadi saya rasa itu satu hujah yang tidak wajar,” katanya ketika menjadi panel webinar Intelektual Negara bertajuk “Usul Undi Percaya: Masih Perlukah?’  

Tetapi nampaknya parti-parti pembangkang masih belum puas hati malah mereka juga menyanggah kenyataan Peguam Negara yang memutuskan tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Perdana Menteri  dan kerajaan yang sudah dibentuk menurut lunas undang-undang.

Tegas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, berkata ini kerana pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, selaras dengan proses pemilihan yang dijalankan Al-Sultan Abdullah dengan teliti dan telus untuk melantik Perdana Menteri kesembilan, secara jelasnya pelantikan Ismail Sabri adalah sah dan menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya pelantikan Perdana Menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Yang di-Pertuan Agong, ini bermakna kuasa mutlak Baginda boleh diatasi oleh pihak lain,’’ katanya.

Walaupun kenyataan beliau dibuat berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang namun pembangkang tidak berpuashati malah menuduh Peguam Negara menderhaka kepada Agong.

Soalnya kenapa pembangkang beria-ia benar-benar mahukan undi percaya ini? Apakah ada apa-apa agenda? Penulis hanya bertanya memandangkan bekas idola mereka sendiri, Tun Dr.Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan proses keabsahan itu.

Cukuplah membangkitkan soal proses tersebut. Akurlah kepada titah Al-Sultan Abdullah pada  20 Ogos yang berharap agar dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera.

Rakyat sudah bosan dan muak dengan politiking yang tidak berkesudahan termasuklah mengganggu gugat siapa juga yang menjadi Perdana Menteri. Berapa kali dalam setahun nak tukar Perdana Menteri?  Apa nak jadi dengan rakyat dan negara ini?

Oleh itu tidak payahlah beria-ia sangat mahukan proses keabsahan tersebut sebab nanti orang akan bertanya apakah ada agenda tersembunyi yang tidak tercapai dalam proses tersebut sebelum ini?FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *