JET tempur pengganas Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza, malam tadi sebagai tindak balas terhadap pelepasan belon api dari semenanjung terkepung itu yang mengakibatkan kebakaran.
Memetik AFP, Israel yang menyalahkan Hamas susulan pelancaran belon api itu mendakwa telah menyasarkan beberapa sasaran milik pergerakan terbabit yang menguasai Genting Gaza.
“Semalaman jet tempur Israel menyerang bengkel membuat roket Hamas serta kubu pejuang Hamas di Khan Yunis.
“Serangan itu adalah sebagai tindak balas terhadap pelancaran belon api ke kawasan Israel,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, saksi berkata, tentera Israel turut melepaskan tembakan meriam ke utara Gaza.
Menurut sumber perubatan di semenanjung terkepung itu, tiada penduduk yang terbunuh dalam serangan berkenaan.
Terdahulu, bomba Israel berkata, belon api itu mengakibatkan tiga kebakaran belukar di kawasan berdekatan Genting Gaza.
Israel biasanya akan membalas pelepasan belon api itu dengan serangan udara.
Serangan udara pada Isnin itu berlaku selepas enam rakyat Palestin lolos dari penjara Israel mellaui terowong yang digali mereka dan mencetuskan pemburuan besar-besaran.
Leave a Reply