Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KERAJAAN membenarkan Industri Latihan Pemanduan (ILP) kenderaan motor di seluruh negara beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara janji temu mulai Khamis ini.
Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, walaupun institut memandu (IM) boleh mula beroperasi mulai Khamis, proses pengujian bagi mendapatkan lesen memandu berkaitan hanya akan bermula pada 17 September.
“Tempoh masa ini diperuntukkan kepada pihak IM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk bersedia sepenuhnya bagi mengelakkan isu-isu berbangkit yang boleh memberi kesan negatif kepada calon.
“Kebenaran yang telah mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu tertakluk kepada pematuhan beberapa perkara,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Pertamanya kata beliau, pematuhan sepenuhnya ke atas prosedur operasi standard (SOP) PPN berfasa yang berkuat kuasa.
Kedua pula katanya, pekerja, tenaga pengajar dan calon telah lengkap menerima vaksin dengan mengemukakan sijil digital vaksinasi Covid-19 dan kad pengenalan sebagai pembuktian.
“Ketiga, syarikat hanya dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja berdasarkan peratusan pekerja yang lengkap menerima vaksin,” katanya.
KaSiong memberitahu, sekiranya kadar peratusan pekerja yang lengkap menerima vaksin adalah 40 peratus, kapasiti pekerja dibenarkan beroperasi adalah sebanyak 60 peratus.
Sekiranya 60 peratus telah lengkap menerima vaksin, 80 peratus pekerja dibenar beroperasi manakala syarikat akan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 100 peratus sekiranya 80 peratus pekerja mereka lengkap menerima vaksin, katanya.
“Keempat, kehadiran mana-mana kakitangan atau calon yang bergejala, sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ‘person under surveillance (PUS) dan sedang dalam perintah kuarantin adalah tidak dibenarkan.
“Kelima, mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pelaksanaan norma baharu seperti pemeriksaan suhu badan, mengimbas MySejahtera, mengamalkan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup separuh muka dan penyediaan ‘hand sanitizer’,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang ketidakpatuhan SOP ditetapkan boleh diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Dalam pada itu, Ka Siong turut mengumumkan pemberian moratorium selama tiga bulan kepada pengendali IM iaitu sehingga 30 November depan untuk keperluan pembaharuan permit.
“Bagi mana-mana yang tempoh sah laku permitnya tamat di antara bulan Januari hingga September 2021.
“Diharapkan dengan pengoperasian semula ILP ini dapat memberi kelegaan kepada pengusaha-pengusaha ILP atau IM, tenaga pengajar dan orang ramai yang memerlukan perkhidmatan berkaitan,” katanya.
Leave a Reply