Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad memaafkan peguam, Siti Kasim yang mencetuskan kontroversi apabila menuduhnya memakai jam mahal berjenama Rolex.
Malah, ketika memaafkan peguam yang pernah menggesa supaya sekolah tahfiz diharamkan di Malaysia, Naib Presiden Pas itu turut mendoakan Siti Kasim diberi kesihatan yang baik dan tidak dijangkiti Covid-19.
“InsyaAllah saya maafkan. Saya doakan semoga Pn Siti diberi kesihatan yang baik dan dijauhkan virus Covid,” kata Idris dalam Twitternya malam tadi, merujuk kepada permohonan maaf dibuat peguam itu.
Isu itu timbul setelah Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim dilihat cuba memalukan Idris apabila memuat naik tuduhan mengatakan menteri itu memakai jam tangan mewah jenama Rolex.
Sangkaan itu dipercayai berlaku setelah Siti Kasim melihat warna keemasan jam yang dipakai Idris seakan-akan jenama Rolex dan meminta pengikut laman sosialnya memeriksa jam itu.
Namun Idris menerusi akaun Facebooknya menjawab tuduhan itu dengan menjelaskan jam dipakainya bukan berjenama Rolex sebaliknya sebuah jam Buruj yang mempunyai fungsi menyimpan waktu solat dan arah kiblat.
“Untuk pengetahuan, jam Buruj ni lama dah saya pakai, senang nak tahu waktu solat dan arah kiblat.
“Boleh solat kat mana-mana. Dalam pejabat yang baru masuk pun boleh solat sebab senang nak tentukan arah kiblat,” katanya.
Susulan penjelasan itu, Siti Kasim yang sudah dikenali sebagai anti kepada pemimpin Pas dan beberapa tokoh agama di negara ini, memohon maaf secara terbuka dalam Twitternya.
“Minta maaf ustaz sebab saya memang salah,” tulis Siti Kasim dalam Twitternya sambil meletakkan tiga emoji tapak tangan bercantum memohon kemaafan yang bersunguh-sungguh, dan tiga emoji ‘red heart’ yang biasanya menunjukkan cinta dan kasih sayang kepada pasangan romantis, keluarga, rakan atau kumpulan.
Permohonan maaf itu mendapat komen daripada orang ramai yang sesetengahnya memuji Siti Kasim kerana bagi mereka inilah kali pertama mereka mendengar peguam itu memohon maaf.
Sesetengah netizen juga menegur Siti Kasim supaya dia lebih berhati-hati pada masa depan ketika membuat sesuatu tuduhan supaya tidak memalukan profesion guaman.
Leave a Reply