Oleh RAHIMI MOHAMAD
KEGIATAN memproses dan menjual air ketum membabitkan tiga sindiket kecundang susulan penahanan 17 individu dalam tujuh serbuan di sekitar daerah Kota Tinggi, Kulai, Iskandar Puteri, Tangkak dan Johor Bahru.
Seramai 13 lelaki dan tiga wanita tempatan serta seorang wanita warganegara Indonesia berusia antara 20 hingga 56 tahun ditahan dalam operasi selama seminggu bermula 27 Ogos lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dan JSJN daerah.
Malah, tiga penjawat awam berusia antara 32 hingga 42 tahun turut ditangkap kerana terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan ketum.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Polis Johor berjaya merampas 542.73 kilogram (kg) daun ketum dan 300 liter air ketum bernilai RM8,435 selain beberapa peralatan memproses ketum turut dirampas dalam operasi itu.
“Modus operandi kegiatan ini adalah menggunakan lori dan mengisytiharkan sebagai barangan ‘essential’ yang dibawa bersama barang keperluan lain bagi mengaburi pihak berkuasa dengan bekalan ketum yang diperolehi di utara tanah air.
“Kegiatan itu menjadi popular sejak kebelakangan ini ekoran harga pasaran ketum yang tinggi selain permintaan yang meningkat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.
Ayob Khan berkata, sindiket terbabit dikesan beroperasi di rumah dan gudang sebagai tempat memproses air ketum itu sebelum dijual kepada pembeli sama ada dengan cara penghantaran terus kepada pelanggan, menjual di rumah atau secara atas talian.
Katanya, hasil risikan yang dijalankan sebulan lalu mendapati tiga sindiket berkenaan telah beroperasi sejak awal tahun ini dengan menjual air ketum antara RM15 hingga RM20 bagi satu liter.
Tambah beliau, rampasan keseluruhan daun dan air ketum itu boleh digunakan oleh seramai 11,155 pengguna sekiranya terlepas ke pasaran.
Sementara itu, hasil saringan awal air kencing mendapati dua daripada suspek yang ditahan positif dadah jenis methamphetamin, manakala tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Kesemua suspek direman antara tiga hingga tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Leave a Reply