68.8 peratus populasi dewasa Malaysia lengkap divaksin

SEBANYAK 68.8 peratus atau 16,107,712 individu daripada populasi dewasa Malaysia telah melengkapkan suntikan dua vaksin Covid-19 setakat semalam.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Facebook berkata, sebanyak 88.3 peratus atau 20,677,827 juta orang populasi dewasa pula telah mendapatkan satu dos vaksin.

Menurutnya, 49.3 peratus populasi keseluruhan negara telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 manakala 63.3 peratus sekurang-kurangnya satu dos.

“Ini menjadikan jumlah dos diberikan di seluruh negara termasuk vaksin dos tunggal dan dua dos adalah sebanyak 36,745,313 dos,” katanya hari ini.

JKJAV pada masa sama memberitahu, untuk vaksinasi harian, sebanyak 313,751 dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam.

Tambahnya, ia melibatkan pemberian 132,640 dos pertama manakala 181,111 lagi dos lengkap.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Februari lalu memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *