PATI

Tentera Darat tahan 28 PATI ceroboh negara

Oleh RAHIMI MOHAMAD

CUBAAN 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia memasuki negara melalui jalan laut berjaya dipatahkan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang mengesan pergerakan bot mencurigakan di kawasan Bio-Desaru, Bandar Penawar, di Kota Tinggi, semalam.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan memaklumkan, anggota petugas Pos Pemerhati mengesan bot berkenaan pada pukul 1.30 pagi sebelum menghantar Tim Quick Reaction Force (QRF) menjejakinya.

“Hasil penjejakkan yang dilakukan telah mengesan 26 PATI sedang bersembunyi di tepi pantai Jalan Tanjung Balau-Sedili Kecil (Bio-Desaru) dan berjaya ditahan sekitar pukul 2.30 pagi.

“Selang tiga jam kemudian, dua lagi PATI ditahan di lokasi berhampiran,” menurut kenyataan berkenaan hari ini.

Jelas kenyataan itu lagi, kesemua mereka terdiri daripada 25 lelaki dan tiga wanita berusia 17 hingga 51 tahun dipercayai baru saja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah.

Seramai 28 PATI warga Indonesia ditahan dalam Op Benteng di kawasan Bio-Desaru, Bandar Penawar, Kota Tinggi.

Tambah kenyataan itu, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM17,575 melibatkan RM1,004 dan 27,052,000 Rupiah Indonesia (RM 7,870.80) selain 23 buah telefon bimbit.

“Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru.

“Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai. Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,” katanya.

Sementara itu, TDM sentiasa bersedia mengawal dan meningkatkan lagi kesiagaan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan jenayah dan membolosi sempadan negara.

Kerjasama agensi-agensi dalam Op Benteng akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan perairan dan daratan negara bebas daripada aktiviti yang boleh mengancam keselamatan mahupun aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *