PERMAINAN nombor untuk menjatuhkan sesuatu kerajaan sama ada di peringkat Pusat atau negeri perlu dihentikan, demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) pada masa sama mengingatkan semua pihak agar berhenti daripada menjadikan wakil rakyat yang merupakan pembuat dasar penting sebagai ‘pelacur’ yang mudah dijual beli.
Menurutnya, bagi menghentikan terus permainan nombor daripada terus menggugat kestabilan politik negara, beliau mencadangkan semua pihak termasuk kerajaan bersetuju mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) Lompat Parti.
Beliau berkata, RUU itu kemudian hendaklah dibawa ke Parlimen supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak menjadi gelanggang menjual kerusi, maruah dan harga diri.
“Kita ahli politik adalah pembuat dasar penting negara, kita bukan ‘pelacur’ politik. Adalah penting bagi kestabilan politik dapat dicapai dalam tempoh terdekat dalam mendepani rakyat terjejas serta negara yang masih belum selesai berjuang daripada Covid-19.
“Asas ini penting bagi saya, kerana ia dapat memperkukuhkan politik kita dan tidak akan ada lagi permainan nombor atau ‘games of numbers’ lagi,” katanya.
Ahli Parlimen Pulai itu berkata demikian pada sesi perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di Johor Bahru, hari ini.
Mengulas lanjut Salahuddin berkata, RUU Lompat Parti itu sekali gus menjunjung titah Sultan Johor pada perasmian persidangan DUN bulan lalu yang menitahkan supaya persidangan DUN tidak menjadi sangkar beruk.
“Kita tidak mahu lagi Parlimen dan DUN ini menjadi sangkar beruk di mana terdapat wakil rakyat yang menjual menggadai mandat mereka lompat ke sana ke mari,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Salahuddin berkata, semua ahli politik juga seharusnya memberi tumpuan kepada permasalahan rakyat yang masih terbelenggu dengan Covid-19.
Katanya, beliau mencadangkan dalam cadangan Pakatan Harapan (PH) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar peruntukkan sebanyak RM45 billion secara tunai disalurkan untuk memerangi Covid-19.
“Ia termasuk dengan vaksinasi. Yang keduanya adalah peruntukan RM10 billion lagi untuk bantu golongan yang kehilangan pekerjaan termasuk kumpulan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan juga moratorium tiga bulan tanpa faedah kepada mereka yang terjejas,” tambahnya.
Leave a Reply