Penerima anggap BKC rezeki terpijak, mampu kurangkan beban

PENOREH getah Nor Ain Wazir menyifatkan Bantuan Khas COVID-19 (BKC) yang dikreditkan ke dalam akaunnya hari ini, sebagai ‘rezeki terpijak’ buat ahli keluarganya kerana tidak pernah menjangka mempunyai wang tambahan bulan ini.

Nor Ain, 25, yang merupakan Orang Asli suku Semelai berkata wang itu memberi kelegaan kepada dirinya memandangkan pendapatannya dan suami tidak menentu hanya mengambil upah menoreh getah di kebun penduduk kampung.

“Saya mahu gunakan wang ini untuk membeli barangan dapur supaya kami boleh makan sedap sedikit hari ini. Saya juga mahu membeli kad tambah nilai untuk anak kerana dia mengikuti kelas secara dalam talian…ada masanya kami kehabisan data kerana perlu mengutamakan perbelanjaan dapur.

“Pada waktu begitu, saya berterima kasih kepada guru yang membantu membelikan kad tambah nilai. Memandangkan sudah ada wang, lebih baik saya sediakan kad tambah nilai sendiri supaya anak boleh belajar dengan baik,” katanya, lapor Bernama.

Ibu kepada empat anak berusia antara setahun dan 10 tahun itu mengakui tidak mengetahui mengenai BKC, sebaliknya datang ke Bank Simpanan Nasional (BSN) Triang di Bera yang terletak kira-kira 20 kilometer dari rumahnya di Kampung Bukit Gemuruh, untuk mengeluarkan wang simpanan bagi membeli barangan dapur.

Sementara itu, peneroka Felda Mayam, Bera, C. Machap, 75, berkata beliau mula beratur di bank itu seawal 8.30 pagi selepas mengetahui BKC akan dikreditkan ke akaun penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) hari ini, selepas membaca surat khabar pada minggu lepas.

“Saya mahu mengeluarkan sedikit wang untuk memberi barang dapur manakala bakinya akan disimpan untuk kegunaan masa depan memandangkan harga buah sawit juga tidak menentu.

“Lebih baik saya pastikan mempunyai wang tunai untuk perkara tidak dijangka seperti untuk urusan perubatan kerana saya dan isteri sudah tua dan berisiko mudah diserang penyakit,” katanya.

Bagi mekanik Law Tek Yong, 69, bantuan wang tunai itu disifatkannya sebagai sangat membantu ekoran pendapatan bulanan yang berkurangan sejak pandemik Covid-19 sedangkan perbelanjaan semakin meningkat.

Katanya, keutamaan adalah memastikan barangan makanan di rumah mencukupi selain keselesaan dan kebajikan ibunya yang sudah uzur dijaga dengan baik.

Proses pengkreditan BKC bagi Fasa Satu bermula hari ini, melibatkan 10 juta penerima terdiri daripada miskin tegar, B40, M40, warga emas dan golongan bujang yang layak, melibatkan dana berjumlah RM3.1 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berkata beliau berharap bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *