JABATAN Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan kompaun sebanyak RM2,000 kepada seorang pemilik kebun di Balik Pulau hari ini selepas dikesan melakukan pembakaran terbuka di kebun miliknya.
Pemerhatian JAS Pulau Pinang mendapati pembakaran terbuka itu melibatkan sebahagian kawasan kebunnya yang tidak diselia dan berpotensi merebak ke kawasan lain.
Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya bertindak menjalankan siasatan selepas menerima aduan orang awam berhubung berlakunya pencemaran udara ekoran aktiviti pembakaran terbuka di kebun tersebut.
Katanya, mengikut seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, individu yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kompaun minimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan yang mudah terbakar terutama ketika cuaca panas dan kering.
“Ini kerana selain mencemar dan mengganggu masyarakat sekeliling, aktiviti pembakaran terbuka juga mudah merebak ke kawasan belukar atau hutan,” katanya.
Sementara itu beliau menambah, JAS Pulau Pinang merekodkan sebanyak 547 aduan rasmi aktiviti pembakaran terbuka sepanjang tahun ini setakat hari ini.
Katanya, orang awam boleh menyalurkan sebarang maklumat tentang pencemaran ke talian bebas tol JAS 1-800-88-2727 atau email [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.
Leave a Reply