tugas Muhyiddin MPN krismas

Muhyiddin paling sesuai ketuai MPN pulihkan negara

by

in

Oleh RAHIMI MOHAMAD

TAN Sri Muhyiddin Yassin merupakan pemimpin yang sesuai untuk menerajui Majlis Pemulihan Negara (MPN) dalam usaha untuk memulihkan Malaysia baik dari segi kesihatan atau ekonomi.

Presiden Persatuan Anak Melayu Johor, Wilayah Persekutuan dan Selangor (PAMJ), Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee berkata, faktor pertama adalah kerana Muhyiddin merupakan bekas Perdana Menteri yang merancang terlebih dahulu usaha pemulihan negara.

Katanya, kesinambungan tugas Ahli Parlimen Pagoh itu akan memudahkan perancangan yang dibuat selama ini dapat diteruskan serta diselaraskan dengan baik bagi memastikan usaha pemulihan tercapai.

“Pengalaman luas Tan Sri Muhyiddin memimpin negara ketika Malaysia mula berdepan pandemik Covid-19 akan dilihat dan diyakini rakyat untuk beliau meneruskan tugas di MPN dengan lancar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada Sabtu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri.

Menurut Mohd. Zuki, pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN adalah untuk menerajui strategi pemulihan negara demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu, Syed Hussien berharap, MPN dapat melihat kembali langkah membuka tempat pelancongan terutama Pulau Langkawi pada 16 September ini yang dilihat tidak selari dengan larangan merentas negeri atau pun daerah di Kedah.

Ujarnya, ketidakseragaman itu hanya akan memberi impak kepada pengusaha pelancongan dan sektor-sektor berkaitan yang mungkin membuat persediaan untuk menerima kehadiran pelancong.

“Bagaimana orang nak pergi melawat sedangkan pembukaan sempadan negeri dan daerah pun belum dibuat, MPN perlu lihat semula perkara ini, orang akan ketawa kerana pelaksanaan tidak seragam dengan keadaan semasa.

“MPN perlu juga lihat keperluan membuka sempadan negara terutama Johor-Singapura yang memiliki banyak kepentingan utama termasuk ekonomi dan pekerjaan rakyat kita sendiri.

“Kedua-dua negara hendaklah kena ada hubungan komprehensif melalui Kementerian Luar, tetapkan tarikh gelembung perjalanan untuk memudahkan mereka yang berulang alik bukannya pergi tetapi perlu menjalani kuarantin dalam tempoh lama,” katanya.

Sementara itu, Syed Hussien memuji sifat kepemimpinan Muhyiddin yang mengumumkan tidak akan mengambil sebarang imbuhan sepanjang menjadi Pengerusi MPN seperti diumumkan beliau.

“Beliau seorang yang berprinsip yang kita lihat sesuatu luar biasa kerana saya percaya tidak ramai pemimpin ada, inilah contoh pimpinan yang kita harapkan dan tidak pentingkan politik semata-mata sesuai dengan latar belakang agama dimiliki beliau,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *