Oleh MOHD LAZIM ENDUT
SEPANJANG 14 hari persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berlangsung bermula 13 September ini, kesemua 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dinasihatkan berada di kawasan masing-masing dan tidak rentas negeri.
Speaker DUN Terengganu, Datuk Yahaya Ali berkata, langkah itu bertujuan bagi memastikan tiada berlaku penularan Covid-19 yang dikhuatiri boleh mengganggu persidangan .
”Nasihat itu perlu diberi perhatian mengambil kira kemungkinan penularan varian Beta dan Delta ,” katanya menerusi sidang media secara atas talian di Kuala Terengganu, hari ini.
Yahya berkata, persidangan DUN bagi mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN ke-14 selama tiga hari minggu hadapan hanya ADUN dan petugas sahaja berada di dalam dewan bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Beliau berkata, ia adalah selaras dengan garis panduan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) walaupun Terengganu kini berada pada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Katanya, Sidang DUN bermula pukul 9.30 pagi hingga 1 tengah hari.
“Ketua jabatan pula diminta mengikuti secara atas talian bagi mengelak 3S (sesak, sempit dan sembang jarak yang dekat). Kesemua mereka juga diwajibkan mengambil dua dos suntikan vaksin dan menjalani ujian calitan Covid-19 sebelum sidang DUN berlangsung iaitu pada 9 September selain menjalani ujian pengesanan Covid-19 RTK-Antigen (Saliva Test) setiap hari sepanjang sidang,” ujarnya.
Sementara itu beliau memberitahu, perkembangan sidang DUN boleh diikuti secara langsung melalui platform media kerajaan negeri seperti Portal Rasmi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) dan TV Darul Iman.
“Wakil media yang membuat liputan sepanjang sidang DUN perlu berada di tempat khas dan tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan. Sidang media atau temubual oleh pemberita boleh dibuat di tempat yang dikhaskan sahaja,” jelas beliau.
Leave a Reply