Sudah raih RM91,000, kakitangan kontraktor Petronas direman 4 hari

Oleh RAHIMI MOHAMAD

KAKITANGAN kontraktor di Petronas Pengerang sudah meraih kutipan sumbangan sehingga RM91,000 setelah membuat dakwaan palsu 14 ahli keluarganya mati akibat Covid-19.

Lelaki berusia 45 tahun itu dipercayai mendapatkan sumbangan derma tersebut bermula bulan Jun lalu kononnya setelah dia mula kehilangan isteri dan tiga anaknya.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi telah menahan suspek semalam selepas lelaki itu hadir di Balai Polis Bayu Damai.

Katanya, suspek ditahan dipercayai ketika ingin membuat laporan ‘covering’ bagi dirinya tentang kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati suspek setakat ini dipercayai telah menerima sumbangan sebanyak RM91,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussin berkata, hasil maklumat dan siasatan mendapati suspek menyebarkan berita palsu berkenaan 14 ahli keluarga meninggal dunia akibat Covid-19 bagi mendapatkan sumbangan derma.

Katanya, suspek kini direman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun dan dengan sebat juga boleh dikenakan denda.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan membuat penilaian sebelum membuat apa-apa sumbangan atau derma supaya tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Sejak malam kelmarin, media sosial terutama Facebook dan WhatsApp dihebohkan dengan berita yang tular mendakwa seorang lelaki sedang berhadapan ujian berat apabila kehilangan 14 ahli keluarganya akibat Covid-19 sejak Jun lalu.

Perkongsian yang turut memaparkan senarai nama 14 ahli keluarga itu turut ditularkan kononnya kematian itu melibatkan isteri, ibu, kakak, abang ipar serta anak-anaknya dan anak saudara kepada lelaki itu.

Malah, difahamkan baru-baru ini satu majlis bacaan Yasin dan tahlil secara maya turut diadakan oleh pihak pengurusan tempat kerja lelaki itu yang kini berkhidmat di syarikat minyak dan gas negara, Petronas di Pengerang, Kota Tinggi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *