Oleh RAHIMI MOHAMAD
PENERIMA vaksin rakyat Malaysia yang telah menerima suntikan imunisasi Covid-19 di luar negara perlu hadir mendapatkan sijil pengesahan vaksinasi di dalam aplikasi MySejahtera di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terdekat dengan lokasi masing-masing.
Langkah itu, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba bertujuan untuk mengesan penerima vaksin dari luar negara serta status mereka dan jenis vaksin yang telah diterima.
Dr. Adham berkata, langkah itu penting untuk mengesahkan sijil vaksinasi yang diterima di luar itu disahkan tulen dan jenis vaksin yang diterima itu diluluskan di negara ini.
Malah, pengeluaran sijil vaksinasi yang sudah dikemas kini melalui aplikasi MySejahtera itu juga penting bagi memudahkan mereka menjalankan aktiviti harian yang dibenarkan kepada penerima lengkap vaksin.
“Mereka perlu hadir ke PKD untuk memaklumkan status vaksinasi lengkap untuk menerima sijil vaksinasi MySejahtera. PKD yang terima sijil vaksinasi yang dikeluarkan di luar negara itu akan sahkan dahulu sebelum Jabatan Kesihatan Negeri menghantar permohonan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Putrajaya untuk tindakan lanjut.
“CPRC akan memaklumkan kepada MySejahtera untuk mengemas kini dan mengeluarkan sijil vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera di telefon pintar pemohon,” katanya ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mount Austin, di sini hari ini.
Sementara itu, Dr. Adham memberitahu, kerajaan akan menggunakan kaedah dan prosedur operasi standard (SOP) tertentu kepada pelancong yang akan masuk ke negara ini melalui pintu masuk antarabangsa di Langkawi pada 16 September ini.
Katanya, tindakan itu diambil setelah kerajaan memberi kebenaran sektor pelancongan kembali dibuka menerima kunjungan pengunjung asing di Pulau Langkawi.
“Petugas Kesihatan juga akan ditempatkan di laluan pintu masuk antarabangsa di Langkawi bagi menyemak sijil vaksinasi mereka sama ada sah atau sebaliknya.
“Mereka yang mendapat vaksin di luar negara yang ingin berada di negara ini atas tujuan pembukaan sektor ekonomi juga akan melalui proses yang sama,” ujarnya.
Leave a Reply