Oleh MOHD LAZIM ENDUT
PROGRAM vaksinasi Covid19 membabitkan pelajar berusia 13 hingga 17 tahun di Terengganu akan dilaksanakan sebaik sahaja garis panduan lengkap mengenai pelaksanaan imunasi ke atas golongan tersebut diterima.
Justeru, menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr. Kasemani Embong, pihaknya sudah bersedia untuk vaksin seramai 95,000 pelajar sekolah menengah di negeri ini.
Beliau berkata, program vaksinasi ke atas pelajar dimulakan di Sarawak, namun JKNT sudah bersedia sekiranya diarahkan untuk berbuat demikian.
“Kita sudah bersedia dan sedang menunggu garis panduan lengkap pelaksanaannya, setelah dapat nanti, insya-Allah kita akan mulakan.
“Sementara daripada segi kapasiti pula, kita memiliki kemampuan sumber manusia dan tempat, namun ia bergantung kepada bekalan vaksin yang bakal diperoleh nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses suntikan vaksin Covid-19 secara terus (walk in) di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Utama Majlis Daerah Marang, hari ini.

Sementara itu, Dr. Kasemani memberitahu, sehingga ini sebanyak 86 peratus daripada 808,400 rakyat Terengganu yang layak divaksin sudah menerima suntikan pertama.
Perkembangan terbaharu ini katanya, menjadikan baki penduduk yang masih belum divaksin ialah seramai 122,436 orang di mana daerah Dungun merekodkan jumlah paling ramai iaitu 37,843 orang.
Menurutnya, bagi daerah Besut ialah seramai 36,181 penduduk masih belum divaksin diikuti Kuala Terengganu (26,096), Marang (7,706), Hulu Terengganu (7,039), Kemaman (3,362) dan Setiu (3,309).
Oleh itu katanya, bagi meningkatkan jumlah penerima khususnya di daerah Dungun JKNT telah melakukan beberapa usaha sudah termasuk membuka PPV integrasi dan mengadakan program outreach untuk memberi suntikan kepada penduduk.
“Oleh itu, kita amat menggalakkan agar lebih ramai masyarakat hadir ke mana-mana PPV sama ada secara janji temu atau terus bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dalam usaha memastikan kita berjaya mencapai imuniti kelompok pada bulan depan,” jelas beliau.
Leave a Reply