KONGRES Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan tidak memansuhkan cuti tahunan 180,000 petugas barisan hadapan yang memberikan perkhidmatan penuh ketika pandemik COVID-19.
Presidennya, Adnan Mat, berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac tahun lalu, cuti tahunan ini tidak dapat dihabiskan dalam usaha mereka memastikan masyarakat mendapat imunisasi dengan cepat.
“CUEPACS mendapati ada cuti petugas barisan hadapan yang dibekukan tidak dapat dihabiskan, jadi kita mohon kerajaan memberi pertimbangan cuti yang tidak dihabiskan ketika berhadapan pandemik itu.
“Kerajaan perlu pertimbangkan cuti ini tidak dilupuskan dalam tempoh tiga tahun kepada lima tahun, malah perlu dipanjangkan pada masa tertentu sehingga mereka mampu mengambil cuti,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam Kota Bharu di Dewan Sri Tunjong Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) membabitkan 1,030 penerima, di Kota Bharu, Kelantan, hari ini.
“Kami turut memohon baki cuti ini dimasukkan dalam gantian cuti rehat selama 15 hari seperti amalan biasa dilaksanakan sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Adnan turut memohon kerajaan melalui Kementerian Kewangan supaya Belanjawan 2022 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober depan, mengambil kira kewujudan Sistem Saraan Baru (SSB) bagi mempertingkatkan sistem sedia ada.
“Sistem persaraan ini wujud setiap 10 tahun sekali, justeru amat penting bagi kerajaan menyediakan sejumlah bajet untuk memenuhi tuntutan kakitangan awam dan memenuhi kompenan dalam sistem persaraan baharu.
“Sudah pasti sistem persaraan baharu ini juga perlu melangkaui gaji minimum supaya dapat melepasi garis kemiskinan,” katanya. – Bernama
Leave a Reply