Agensi kerajaan bantu mangsa tragedi kepala air Gunung Jerai

Oleh RIZQI ZABIDI

BEBERAPA agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan digerakkan bagi memberi bantuan kepada mangsa tragedi kepala air di Gunung Jerai, Kedah yang berlaku pada 18 Ogos lalu.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, antara agensi terlibat adalah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Jabatan Penjara Malaysia selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) yang sememangnya telah berada di lokasi kejadian sejak dari hari pertama kejadian itu berlaku.

“Menerusi JPN dan JIM contohnya, kami akan menghantar trak jabatan itu ke sini supaya mereka yang kehilangan dokumen seperti Mykad, sijil kelahiran serta passport boleh melakukan penggantian. Dengan cara itu, insya Allah mereka boleh menerima dokumen dalam masa sejam dan semua perkhidmatan ini disediakan secara percuma.

“Melalui Jabatan Penjara Malaysia pula, kita memiliki banduan yang diberi pelepasan melalui parol. Golongan ini bersedia untuk membantu membaiki rumah penduduk.

“Saya telah menghubungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad untuk menjalin kerjasama dengan mereka serta pegawai daerah di sini bagi memastikan rumah-rumah yang perlu dibantu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Titi Hayun selepas mengadakan lawatan ke lokasi terlibat bersama timbalannya, Datuk Seri Ismail Mohamed Said serta Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, hari ini.

Hamzah mengadakan sidang akhbar berkenaan agensi kerajaan digerakkan membantu mangsa yang terjejas teruk dalam tragedi kepala air di Guung Jerai, Kedah, bulan lalu.

Dalam kunjungannya itu, beliau turut menyampaikan sebanyak 1,000 kotak makanan sumbangan KDN untuk diagih-agihkan kepada penduduk yang terkesan dengan kejadian itu.

Sementara itu katanya, kerajaan tidak sepatutnya dipersalahan 100 peratus terhadap kegagalan orang ramai terutamanya majikan dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, meskipun kementerian diwakilinya dipertanggungjawabkan terhadap pematuhan SOP, namun masih ada tugasan lebih besar yang perlu dilaksanakan seperti mengawal sempadan tanah air serta memastikan keamanan negara terpelihara.

“Apabila kita benarkan kilang beroperasi tetapi mereka tidak mematuhi SOP, mengapa pula hendak salahkan kerajaan sedangkan majikan yang bertanggungjawab menjaganya? Kalau kilang dibenarkan beroperasi, sepatutnya hal menjaga SOP terletak di bawah pihak pengurusan.

“Begitu juga apabila majikan memaklumkan kononnya pekerja kilang itu memiliki dokumen lengkap. Bukan kerajaan yang gagal apabila majikan menipu sedangkan apabila kita periksa, ada juga dalam kalangan pekerja mereka yang tiada dokumen,” katanya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, sehingga kini sebanyak 96 peratus warga KDN sudah pun menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Segalanya berjalan lancar buat kami dengan para pegawai dan anggota PDRM sudah 91 peratus menerima vaksin manakala di Jabatan Penjara pula hampir mencecah 100 peratus,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *