Oleh MOHD LAZIM ENDUT
IMPIAN warga Terengganu untuk menikmati peralihan ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada awal bulan ini tidak menjadi kenyataan, apabila ia terpaksa ditangguhkan selewat-lewatnya hujung September depan.
Menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, penangguhan itu disebabkan penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 masih lagi tinggi iaitu kira-kira 60 peratus.
Katanya, dari segi pengambilan vaksin sebenarnya sudah melepasi untuk fasa tiga cuma kekurangan ketika ini adalah bilangan katil ICU yang membataskan hasrat untuk membolehkan peralihan tersebut.
“Namun begitu, kita menjangkakan peralihan ke fasa tiga akan menjadi kenyataan selewat-lewatnya pada akhir bulan September,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Misi Kebajikan Bersamamu di Dewan Sivik Buluh Gading, Manir, hari ini.
Menurut Ahmad Samsuri, berdasarkan syarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), kebenaran peralihan fasa memerlukan maksimum 50 peratus kadar penggunaan katil ICU.
Ketika ini hanya Perlis, Sarawak dan terbaharu Negeri Sembilan sudah beralih ke fasa tiga manakala Labuan pula sudah berada pada fasa fmpat PPN.
Leave a Reply