jurulatih

Tak wajar hukum jurulatih Ziyad, kata Ahmad Faizal

by

in

Oleh RIZQI ZABIDI

TINDAKAN jurulatih, Faizol Harun mengaku bertanggungjawab terhadap semua yang berlaku ke atas bintang paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di Tokyo baru-baru ini, tidak boleh dijadikan sandaran untuk mana-mana pihak menjatuhkan hukuman ke atasnya.

Malah, menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sebarang tindakan yang diambil terhadap pihak bertanggungjawab perlulah bersifat mendatangkan keuntungan dan tidak hanya berbentuk hukuman yang semata-mata merugikan negara.

“Kalau bercakap tentang tanggungjawab, semua pihak perlu ambil tanggungjawab. Bukan hanya jurulatih Ziyad malah saya sendiri serta Chef de Mission (CDM), Datuk Seri Megat D Shariman Zaharudin serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) juga perlu ambil tanggungjawab dalam isu ini.

“Tetapi apabila bercakap tentang tindakan yang hendak diambil, kita bukan hanya tumpukan kepada hukuman sebaliknya apa usaha untuk pastikan kejadian ini tidak berlaku lagi serta tindakan yang boleh diambil bagi menambah baik keadaan. Itu yang paling penting,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di bangunan Majlis Belia Daerah Yan di Yan, Kedah, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Faizal mengunjungi serta menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa tragedi kepala air di Yan yang berlaku pada 18 Ogos lalu.

Tambahnya, beliau amat memahami keresahan rakyat berhubung kejadian itu malah dirinya juga turut merasa kecewa dengan apa yang berlaku.

“Namun jika benar jurulatih tersebut bertanggungjawab sekali pun, adakah wajar kita menghukum agar beliau tidak boleh melatih lagi? Dalam keadaan beliau sudah berjaya mencungkil bakat ke peringkat tertinggi dunia, saya fikir amat merugikan sekiranya jurulatih itu dihukum hanya semata-mata kerana satu kesilapan,” katanya.

Ketika bercakap kepada media sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Jepun semalam, Faizol menzahirkan harapannya agar semua pihak tidak menuding jari antara satu sama lain terhadap apa yang berlaku.

Sebaliknya kata Faizol, beliau bertanggungjawab kepada semua yang berlaku hingga menyebabkan Muhammad Ziyad terlepas pingat emas walaupun telah menampilkan aksi bertenaga dengan turut mencatatkan lontaran mengatasi rekod dunia.

Beliau malah tidak menganggap isu itu sebagai sabotaj dari pihak lawan sebaliknya terjadi kerana sedikit kesilapan teknikal.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *