BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri.
Perkara itu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, Kabinet dalam mesyuarat pada 1 September lalu telah bersetuju untuk melantik Muhyiddin memegang jawatan pengerusi majlis tersebut.
“Pelantikan ini telah disembah maklum kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong,” katanya.
Mohd Zuki yang juga Setiausaha Kabinet menambah, pelantikan itu dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat COVID-19.
“Pihak kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YB Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas pelantikan ini,” ujarnya.
Leave a Reply