Oleh MOHD LAZIM ENDUT
KERAJAAN menetapkan mana-mana peniaga yang masih menjual kit ujian kendiri Covid-19 melebihi harga runcit ditetapkan akan dikenakan kompaun, bermula 12 September ini.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, ketetapan itu diambil berikutan keputusan kerajaan yang menetapkan harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri Covid-19 pada harga RM19.90 manakala harga borong pula ditetapkan RM16 berkuat kuasa esok.
Justeru menurut beliau, pihaknya memberi tempoh selama seminggu bagi peniaga menjual stok lama kit tersebut sebelum tindakan tegas termasuk kompaun diambil kepada mana-mana pihak yang didapati ingkar.
Katanya, harga siling berkuat kuasa esok dan kementeriannya akan memberi tempoh selama seminggu kepada peniaga untuk menjual stok yang mereka beli dengan harga lama.
“Dalam tempoh tersebut, kita terlebih dahulu akan memberi amaran sekiranya masih ada yang menjual melebihi harga siling ditetapkan dan bermula 12 September, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Kelonggaran ini untuk membolehkan peniaga dapat menghabiskan stok yang masih dan tidak menanggung kerugian terlalu besar,” katanya ketika melawat Projek Kelompok Ternakan Ikan Kumpulan Generasi Kedua Felda Bukit Bading, Ajil, Hulu Terengganu, hari ini.
Bagaimanapun, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu menegaskan, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung penjualan kit ujian Covid-19 palsu.
Oleh itu beliau neminta pengguna yang menjadi mangsa penipuan supaya melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membolehkan tindakan diambil.
“Setakat ini, tiada laporan secara rasmi, cuma kita hanya menerima maklumat ada kit ujian Covid-19 palsu yang dijual dengan harga mahal.
“Mana-mana pengguna yang menjadi mangsa atau rasa tertipu boleh buat laporan segera kepada kita bersama resit pembelian sebagai bukti,” jelas beliau.
Leave a Reply