Anggota Rela maut kereta dipandu terbabas langgar pokok

SEORANG anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) maut apabila kereta dipandunya terbabas lalu melanggar pokok di Jalan Kampung Kuala Rui di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mangsa Kairul Salam Mat Zain, 63, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik Azizul Aswad Asaris berkata sebaik menerima panggilan, sepasukan lapan anggota bergegas ke tempat kejadian untuk kerja-kerja menyelamat.

Beliau berkata apabila sampai di tempat kejadian, kereta jenis Nissan Sentra didapati terbabas ke bahu jalan dan melanggar sebatang pokok.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa tersepit di dalam kenderaan berkenaan dan anggota segera bertindak mengeluarkan mangsa.

“Mangsa didapati telah meninggal dunia setelah disahkan oleh anggota Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azizul Aswad berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat dan operasi tamat pada 8.37 pagi.- BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *