Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad menyifatkan konsep Keluarga Malaysia sebagai satu yang inklusif yang merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum demi keutuhan negara.
Beliau berkata, konsep itu yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga mempunyai nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga dan dipilih kerana frasa tersebut bersifat inklusif.
“Kita semua diibaratkan sebagai satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum,” katanya ketika membaca Khutbah Jumaat bertajuk Keluarga Malaysia di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya, hari ini.
Khutbah yang disampaikan itu merupakan khutbah pertama beliau selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggantikan Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Isnin lalu.
Pada 22 Ogos lalu, konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan dalam ucapan sulung Ismail Sabri.
Sementara itu, Idris berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi mengekang penularan wabak dan mengeluarkan negara dari kemelut pandemik Covid-19.
Menurutnya, usaha-usaha yang dilakukan memerlukan kebersamaan dan kerjasama yang tinggi daripada seluruh anggota Keluarga Malaysia.
Katanya, konsep itu juga menyeru semua pihak untuk sama-sama menggembleng tenaga dalam mencapai objektif utama PPN.
Leave a Reply