UMNO kini ‘kembali berkuasa’ apabila bukan sahaja kembali berada dalam kerajaan walaupun ditolak oleh rakyat dalam PRU-14 malah jawatan Perdana Menteri disandang oleh Naib Presiden parti itu dan 20 pemimpinnya berada dalam Kabinet, justeru apa lagi parti yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi mahukan?
Persoalan ini dibangkitkan kerana ‘nafsu’ politik UMNO seolah-olah belum puas apabila ada laporan yang menunjukkan parti itu mengintai pula kerusi Speaker Dewan Rakyat yang kini disandang oleh Datuk Azhar Azizan Harun.
Apakah kerana bekas Pengerusi SPR itu dicadangkan oleh Bersatu ketika kerajaan dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin maka UMNO mahu mewujudkan ‘legasi’ sendiri untuk melantik Ahli Parlimen daripada parti tersebut?
Penulis amat bersetuju dengan langkah salah seorang pemimpin Ahli Parlimen UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said yang menghantar notis cadangan usul Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021.
Bagaimanapun kalau ada mana-mana ahli Parlimen parti itu termasuk Ahmad Zahid sendiri mahu menghantar usul untuk menukar Speaker dengan kecenderungan ingin meletakkan Ahli Parlimen UMNO menduduki jawatan tersebut, penulis menganggap ia amat tidak wajar sama sekali, apatah lagi usul seumpama itu perlu dibawa oleh Ketua Majlis iaitu Perdana Menteri.
Apa akan berlaku jika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak bersetuju membawa usul itu? Adakah UMNO akan melakukan sesuatu ke atas Perdana Menteri? Kenapa UMNO kelam kabut sangat mahu menukar Speaker? Apa ‘dosa’ Azhar terhadap UMNO? Kenapakah usaha itu dilihat senada dengan desakan beberapa ahli Parlimen pembangkang?
Apakah ahli-ahli Parlimen UMNO yang terasa hati atau ‘dilunyai maruah’ mereka dengan tindakan Ahmad Zahid dan kumpulannya akan menyokong usul itu jika dibawa oleh Presiden UMNO tersebut?Sudah pasti mereka tidak akan menyokong!
Justeru adakah ini akan membuka laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, PKR dan DAP menyokong usul itu sekaligus dilihat akan menguasai ‘set up’ di Parlimen? Tambahan pula jika salah seorang ahli Parlimen UMNO menjadi Speaker, BN akan kehilangan satu undi.
Apapun adalah malang jika tindakan UMNO menghantar usul itu bukan sahaja akan menyebabkan suasana tidak tenang dalam Dewan Rakyat tetapi juga akan menjejaskan kerjasama dalam kerajaan menjadi tidak harmoni. Ini kerana parti-parti lain dalam kerajaan belum tentu akan bersetuju dengan ‘langkah politik’ UMNO tersebut.
Oleh itu adalah wajar jika UMNO tidak melakukan ‘tindakan politik tidak cerdik’ itu. Rakyat sudah muak menyaksikan Dewan Rakyat hanya menjadi gelanggang perbalahan. Sepatutnya apabila Dewan itu bersidang pada 13 September ini, tidak boleh ada usul yang boleh membawa ketegangan.
Sebaliknya tumpuan harus diberikan kepada pembentangan usaha bagi membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19, Rancangan Malaysia Ke-12 dan pembentangan bajet. Cukuplah soal politik,soal berebut kuasa dan kedudukan, semua itu tidak memberi faedah kepada rakyat.
Kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang masih mahu ‘main politik’ termasuk berhasrat mengemukakan usul menukar Speaker Dewan Rakyat, belajar-belajarlah berdiri depan cermin, fikir betul-betul layakkah UMNO yang ditolak rakyat dalam pilihan raya berbuat demikian? Jangan bersikap seperti ‘Belanda dapat tanah’.
Memegang jawatan Perdana Menteri dan menguasai beberapa kementerian yang berkaitan langsung dengan rakyat bukan bermakna pemimpin UMNO perlu terus bersikap ‘rakus’ mahu menguasai jawatan-jawatan lain pulak – sekurang-kurangnya inilah persepsi rakyat terhadap parti itu. Jadi berhati-hatilah jangan sampai akibat tindakan sekarang, parti itu ditolak secara total dalam PRU-15.
Leave a Reply