Ronaldo kini penjaring terbanyak sepanjang zaman

CRISTIANO Ronaldo memecahkan rekod dunia penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam bola sepak antarabangsa lelaki selepas meledak gol ke-100 dan ke-111 dalam kariernya ketika Portugal membenam Republik Ireland 2-1 pagi ini.

BBC melaporkan, pemain yang baru melengkapkan kepulangannya ke Manchester United itu menjaringkan dua gol menerusi tandukan sekali gus memecahkan dan memegang rekod baharu biar pun sepakan penaltinya diselamatkan penjaga gol Gavin Bazunu.

Ali Daei yang menjaringkan 109 gol bersama Iran antara 1993 dan 2006 memegang rekod itu sebelum disamakan Ronaldo semasa menentang Perancis pada Euro 2020 baru-baru ini.

Penyerang berusia 36 tahun itu turut menyamai rekod 180 penampilan Eropah milik Sergio Ramos.

Rekod dunia penampilan terbanyak yang diiktiraf oleh Fifa pada musim panas ini dipegang pemain legenda Malaysia, Soh Chin Ann dengan 195 cap antara 1969 dan 1984.

Ronaldo dan Ali merupakan dua pemain bola sepak lelaki yang menjaringkan lebih 90 gol pada peringkat antarabangsa.

“Rekod ini milik saya dan ia unik. Saya amat gembira dan ia satu lagi untuk karier saya,” kata Ronaldo yang kini mengumpul 111 gol antarabangsa.

Portugal kini mendahului Kumpulan A dengan 10 mata daripada empat perlawanan.

Hanya juara kumpulan layak secara automatik ke pusingan akhir di Qatar tahun hadapan, manakala naib juara mengharungi play-off.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *