RM2.5 juta disalur ganti, baik pulih paip pecah

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

KERAJAAN memperuntukan sebanyak RM2.5 juta bagi menggantikan dan membaik pulih paip di dasar Sungai Tangki Berangan yang pecah dalam dua kejadian bulan lalu.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ketika ini kerja-kerja berkaitan sedang giat dijalankan dan proses pemasangan akan dilakukan sebaik sahaja paip berkenaan yang ditempah dari luar negara itu sampai.

Malah katanya, kerajaan negeri Terengganu menjangkakan penggantian paip dari Australia dan Itali itu dapat dilaksanakan mengikut jadual asal.

“Jika tiada aral, Insya Allah, krisis bekalan air membabitkan dua daerah di negeri ini dijangka selesai pada 12 September,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat lokasi paip dasar sungai Tangki Berangan berhampiran Pulau Sekati, Kuala Terengganu, petang ini.

Menurut Tuan Ibrahim, paip baharu tersebut memiliki daya ketahanan tinggi dan lebih fleksibel.

Krisis bekalan air 2.0 melibatkan 29,151 pengguna di sebahagian daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sejak 23 Ogos lalu dijadualkan pulih pada 12 September ini.

Berdasarkan siasatan awal mendapati punca kerosakan tersebut adalah disebabkan kejadian luar jangka sewaktu kerja-kerja pasca pembaikan paip bersaiz 1,200 milimeter itu dijalankan.

Sementara itu, beliau berkata, aktiviti perlombongan membabitkan korek pasir sungai di negara perlu dikawal dan diseragamkan di semua negeri.

Tuan Ibrahim memberitahu, kementeriannya akan menambah baik Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai (Pindaan 2020) supaya aktiviti tersebut melibatkan kawasan sungai dapat dikawal.

Beliau berkata, garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu sudah diterima dan diguna pakai oleh semua negeri, namun ada beberapa penambahbaikan perlu dibuat.

Pertama sekali katanya, penandaan paip bawah air perlu dibuat kerana apabila tiada tanda, orang tidak tahu ada paip utama di lokasi itu, jadi ia perlu ada kaedah yang mesti dipatuhi, berapa jarak dari bangunan termasuk jarak paip utama bagi aktiviti korek pasir.

“Garis panduan ini adalah satu mekanisme oleh pihak kementerian supaya semua kerajaan negeri dapat mematuhinya. Itulah harapan kita,” katanya.


Tuan Ibrahim memberitahu, garis panduan tersebut bertujuan mewujudkan panduan yang seragam dan lebih inklusif ketika memproses permohonan pengambilan pasir sungai di seluruh negara dengan mengambil kira keseimbangan ekosistem dan morfologi sungai.

“Selain itu, ia juga dapat bertindak sebagai salah satu kaedah bagi menetapkan kuantiti pasir yang boleh dikeluarkan dalam satu jangka masa ditetapkan dan mekanisme pemantauan perlu dijalankan,” jelas beliau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *