Pekerja kilang rugi RM12,700, telefon idaman pula tak dapat

MOHD LAZIM ENDUT

GARA-GARA terlalu berminat untuk memiliki telefon pintar jenis Iphone 11 Pro Max yang ditawarkan dengan harga RM1,400, seorang wanita berusia 22 tahun akhirnya mengalami kerugian sebanyak RM12,700 setelah terpedaya dalam urusan pembelian tersebut.

Mangsa yang juga merupakan seorang pekerja kilang mula ditimpa nasib malang sejurus melihat satu tawaran iklan menerusi laman sosial Instagram pada hari Isnin.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa menghubungi penjual telefon tersebut melalui applikasi WhatApps dan bersetuju untuk membuat pembayaran pada harga ditawarkan menerusi akaun bank yang diberikan.

Katanya, selepas bayaran dibuat, suspek turut meminta mangsa membuat bayaran tambahan atas pelbagai alasan.

Malah kata beliau, alasan diberikan suspek menyebabkan mangsa membayar sehingga RM11,300 (tambahan) melalui enam transaksi pembayaran.

“Akhirnya, mangsa mula curiga dan ingin membatalkan pembelian tersebut setelah suspek terus menyuruhnya membuat bayaran.

“Selepas itu, mangsa gagal menghubungi suspek dan mengesyaki panggilan telah disekat,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ekoran kejadian itu kata Mohd Wazir, mangsa bukan sahaja gagal menerima telefon idamannya, tetapi terpaksa berputih mata kerana wang pembayarannya juga lesap.

“Berikutan itu, semalam mangsa akhirnya membuat laporan di Balai Polis Jaya Gading, Kuantan,” ujarnya.

Beliau berkata, polis telah membuka kertas siasatan kes di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, pihaknya kini sedang mengesan dua pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes berkenaan bagi membantu siasatan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *