Oleh ABU UBAIDILLAH RAMHAN
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengumpul segala maklumat dengan lengkap mengenai wanita bergelar Sittah Annur dan ajarannya, Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan perlu diteliti mengenai ajaran yang didakwa bertentangan dengan Islam itu.
“Ajaran serta gerakan seumpama itu bukan perkara baharu dan siasatan turut membabitkan jabatan lain. Saya lihat benda (ajaran PMYT) ini masih lagi dalam kawalan dan kita tidak boleh tergesa-gesa atau terburu-buru untuk bertindak.
“Kita harus mengumpul segala maklumat selengkap-lengkapnya kerana ia membabitkan jabatan lain iaitu Jabatan Agama Islam. Kita harus mendapatkan juga nasihat dan pandangan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah, di Auditorium, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.
Acryl Sani mengulas mengenai laporan media berhubung seorang wanita menggunakan gelaran Sittah Annur, yang mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah.
Beliau juga mendakwa memimpin pasukannya bagi mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.
Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan.
Mengulas lanjut Acryl Sani berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk memanggil individu terbabit.
“Sabar sedikit dan kita ada cara kita untuk menghadapi perkara ini. Dahulu pun kita berhadapan dengan perkara sama dan kita berjaya mengatasinya.
“Jadi kita ada teknik, ada cara, ada kaedah yang kita laksanakan dalam hal ini. Percayalah, kita tidak leka dan kita sentiasa memastikan bahawa ia tidak sampai menimbulkan kerisauan dan keresahan dalam kalangan masyarakat umum,” katanya.
Leave a Reply