Hishammuddin kembali ketuai usaha pengurusan pandemik di bawah MKN

MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Husssein kembali mengetuai usaha berkaitan pengurusan pandemik termasuk Covid-19 di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Hishammuddin dalam satu kenyataan berkata, sidang khas MKN sebentar tadi mengesahkan beliau akan kembali mengetuai usaha itu yang pernah digalasnya beberapa minggu sebagai Menteri Kanan Luar Negeri, sebelum ini.

“Antara arahan utama yang diberikan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) kepada saya adalah untuk menilai dan memperkemas prosedur operasi standard (SOP) yang telah diumumkan sebelum ini dari semasa ke semasa.

“Saya percaya, ini merupakan kerja yang berterusan dan memerlukan pendekatan yang inklusif. Saya sentiasa berbesar hati dan bersedia untuk membuka ruang kepada semua pihak termasuk rakyat bagi memberi pandangan serta maklum balas demi memenuhi kepentingan bersama,” katanya, hari ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, kerajaan serta rakyat harus bersama-sama bersiap sedia bagi menjalani kehidupan seharian dengan norma baharu dan hidup bersama Covid-19 sebagaimana dinyatakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, semalam.

Ujarnya, untuk menuju ke fasa endemik, adalah amat penting untuk pendekatan secara menyeluruh dilaksanakan bagi menentukan SOP yang dapat melindungi nyawa serta kesihatan rakyat disamping memastikan pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Ini kerana situasi sekarang sudah berbeza dengan tahun lepas. Tahun ini kita sudah melaksanakan pemberian vaksin secara besar-besaran kepada rakyat yang mana Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) juga
menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.

“Harapan saya, perancangan kita selepas ini akan boleh terus ditambahbaik. Saya juga berharap SOP seterusnya yang bakal diumumkan oleh Kerajaan kelak lebih bersifat menyeluruh, jangka masa panjang, mudah difahami serta paling penting dapat menjamin tiga tonggak utama iaitu, kesihatan, ekonomi
dan kesejahteraan rakyat,” tambahnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *