Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KIRA-KIRA 90 peratus anggota dan pegawai polis di seluruh negara sudah menerima lengkap dua dos vaksin sehingga kini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, proses itu akan lengkap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu ini.
Katanya, mengikut data terkini pada 1 September, hampir 90.1 peratus warga PDRM telah menerima vaksin yang lengkap dos satu dan dua di seluruh negara.
“Untuk Sabah sebanyak 89.9 peratus. Boleh katakan 90 peratus (telah terima vaksin), jadi masih ada lagi berbaki antara 10 peratus yang masih belum lagi menerima vaksin yang lengkap, bermaksud mereka telah pun menerima vaksin yang pertama dan belum lengkap lagi.
“Jadi saya percaya dalam seminggu dua ini pemberian vaksin itu akan lengkap kepada semua warga PDRM,” katanya pada sidang akhbar pada majlis serah terima tugas Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.
Acryl Sani bagaimanapun tidak menafikan ada beberapa warga PDRM sebelum ini enggan menerima vaksin, namun selepas diberi penerangan semuanya telah pun mendapatkan suntikan vaksin.
Leave a Reply