Oleh RIZQI ZABIDI
KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) setakat ini telah membuat penilaian terhadap 40 rumah yang terlibat dengan tragedi aliran debris (aliran puing) di Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bersandarkan penilaian itu, dianggarkan sebanyak RM550,000 diperlukan bagi membaiki rumah-rumah tersebut.
Katanya, sehingga kini usaha untuk mengenal pasti kerosakan dan keperluan pembaikan rumah mangsa yang lain juga sedang giat dilaksanakan.
“Sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, KPLB telah menyediakan peruntukan hingga RM3 juta bagi tujuan pembaikan rumah mangsa bencana.
“KPLB akan memastikan peruntukan ini digunakan untuk meringankan beban kepada penduduk yang terlibat. Dalam masa sama, kementerian ini juga telah mengkoordinasikan Bahagian Kesejahteraan Rakyat, KPLB dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dalam usaha menyalurkan bantuan bagi meringankan beban ditanggung mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hari ini beliau menghadiri majlis serah terima tugas bersama Datuk Dr Abdul Latif Ahmad.
Sementara itu Mahdzir berkata, pengumuman Perdana Menteri mengenai pembayaran Fasa satu dan dua Bantuan Khas Covid-19 (BKC) berjumlah RM3.1 bilion bermula 6 September depan, tepat pada masanya.
Menurutnya, langkah itu juga jelas menunjukkan betapa kerajaan menunaikan janji sebelum ini yang diumumkan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).
“Saya mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri itu dan ia jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan pimpinan beliau.
“Pembayaran dua fasa membabitkan golongan miskin tegar, B40 dan M40 serta bujang menunjukkan kecaknaan beliau dan kerajaan terhadap rakyat berpendapatan rendah, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang diterapkan,” katanya.
Leave a Reply