mahasiswa KPT

Mahasiswa harap KPT tak ulangi kegagalan sama

KESATUAN Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berharap Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak akan mengulangi kegagalan yang sama seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Menurut kesatuan itu, seiring dengan pelantikan semula Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebagai Menteri Pengajian Tinggi, mahasiswa sebagai pemegang taruh akan terus meneliti pencapaian KPT bagi memastikan kegagalan sama tidak berulang.

“Menyedari hakikat bahawa mahasiswa ialah antara kumpulan paling terkesan dalam isu ini, mereka sudah menyampaikan terlalu banyak cadangan, tetapi malangnya, sepi tanpa sebarang maklum balas.

“Jika diberikan ruang untuk perbincangan, kita yakin bahawa pergerakan dan kesatuan mahasiswa bersedia menghulurkan kerjasama kepada kepemimpinan KPT,” kata kesatuan itu dalam satu kenyataan.

Mereka turut menggesa KPT agar mempertimbangkan pelbagai cadangan diutarakan pergerakan dan kesatuan mahasiswa dalam merungkai isu pendidikan yang tercetus susulan pandemik COVID-19.

Kesatuan itu berkata, langkah itu penting berikutan pandemik kesihatan yang mula menular di Malaysia sejak Januari tahun lalu menyaksikan kuliah terpaksa dijalankan secara dalam talian.

Mereka memberitahu, rangkaian masalah berbangkit timbul, termasuk kebolehlaksanaan proses amali yang lazimnya berperanan untuk mahasiswa menterjemahkan pembelajaran teori kepada praktikal di lapangan.

“Apa yang berlaku perlu dijadikan pengajaran dan bersama kita harus merintis arus perubahan,” jelasnya.

Sebagai tanda mewujudkan kerjasama, Kesatuan Mahasiswa UIAM berkata, pihaknya telah mengirimkan surat terbuka kepada KPT.

Namun, mereka tidak memperincikan tarikh dokumen itu dihantar untuk pertimbangan kementerian.

Kesatuan itu mendakwa, sehingga kini, mereka tidak mendapat sebarang maklum balas daripada KPT.

“Sekali lagi, kami ingin tegaskan bahawa mahasiswa sudah penat apabila berterusan terpaksa diheret sekali dalam drama politik saban hari.

“Sepatutnya, KPT kekal fokus dalam menjalankan portfolio mereka dan buktikan bahawa segenap isu berupaya dirungkai secara tuntas, berbanding kegagalan sama yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, netizen mengecam pelantikan Noraini sambil memberi alasan tersendiri berhubung sikap mereka menolak Ketua Wanita UMNO tersebut untuk memegang semula jawatan Menteri Pengajian Tinggi.

Pada 6 Ogos lalu, Noraini melepaskan jawatan tersebut serta merta kerana kononnya akur keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Ogos sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Noraini sebelum ini pernah dikritik hebat kerana menganjurkan pertandingan TikTok.

Ini termasuk memuat naik video TikTok selama 45 saat yang menampilkan dirinya tahun lalu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *