Oleh SOULTAN YAKIN
PERTUBUHAN Pribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu ini bukanlah sebuah parti yang lahir untuk mencipta sesuatu yang baru dan asing, tetapi ia lahir untuk menyambung naratif sejarah perjuangan bangsa yang terputus di tengah jalan.
Penyair Ireland Oscar Wilde menulis “sesiapa sahaja boleh membuat sejarah, tetapi hanya orang hebat sahaja yang dapat menulisnya”. Yang hebat, adalah orang-orang yang menang. Dan, mungkin kerana itulah Winston Churchill berkata “Sejarah ditulis oleh mereka yang menang”.
Kata-kata ini memberi isyarat bahawa setiap perjuangan perlu menang, namun adakah setiap pemenang itu akan menulis sejarah dengan adil?
Memahami sejarah memerlukan perspektif, dan dengannya kita boleh mengukur sejauh mana sejarah itu ditulis dengan adil.
Apabila UMNO menceraikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka lahirlah PKR. Apabila UMNO menceraikan Tan Sri Mahiaddin Yassin maka lahir pula Bersatu. PKR dan Bersatu sama-sama lahir dari perut UMNO.
Bezanya, PKR cuba menjadi seperti Parti Negara sedangkan Bersatu cuba untuk menggantikan UMNO kleptokrat.
Ada yang mengatakan, dengan munculnya PKR dan Bersatu, maka umat Melayu telah berpecah dan menjadi lemah. Tapi ramai juga yang melihat dari perspektif yang lebih positif iaitu politik Melayu semakin membesar kerana kini sudah ada banyak pilihan untuk memilih selain UMNO. Bila lebih banyak pilihan, maka lebih banyak manfaatnya.
Selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah dibentuk pada Mac 2020. Pendiri kepada kerajaan PN ini ialah Bersatu bersama sokongan dari Pas, UMNO dan lain-lain yang turut menyertai gabungan baru ini.
Kenapa bukan namanya kerajaan Barisan Nasional? Kerana Bersatu dan Pas bukanlah ahli gabungan parti di dalam BN sepertimana MCA, MIC dan lain-lain.
Cubaan terbaik rakyat Malaysia memberikan undi kepada PH hingga menjadi kerajaan pada 2018 adalah semata-mata kerana tahap kebencian yang melampau kepada kepimpinan UMNO kleptokrat, bukan kerana yakinnya mereka kepada politik PH.
Selama 22 bulan PH memerintah, PH tidak memahami sentimen rakyat yang benci dengan politik kleptokrat. Rakyat hanya mahu PH lebih baik memerintah dari kleptokrat, itu sahaja. Namun, sebaliknya, krisis politik kleptokrat ini telah digantikan dengan krisis politik jawatan perdana menteri. Rakyat mula naik angin.
Melihat wujudnya krisis jawatan perdana menteri yang tak berkesudahan inilah maka Bersatu dan beberapa orang wakil rakyat PKR bertindak nekad untuk keluar dari PH demi menghentikan krisis ini sebelum rakyat menghukum mereka semua secara total di PRU15.
Tidak dapat dinafikan bahawa PN ini sebuah gabungan politik yang longgar. Ia muncul ditengah-tengah pelbagai krisis. Ia wujud semata-mata atas niat mahu mengukuhkan kembali keyakinan rakyat kepada sebuah kerajaan yang ketika itu semakin goyah dengan krisis politik dalaman PH yang berlarutan sejak memerintah Malaysia pada Mei 2018.
Menubuhkan PN merupakan suatu keputusan politik yang drastik dan berisiko tinggi. UMNO memilih menyertai PN kerana mereka melihat peluang untuk kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan. Menjadi kerajaan adalah cita-cita semua parti politik kecuali Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Maka, bagi UMNO, menjadi sebahagian daripada kerajaan PN adalah sama dengan mendapat ventilator untuk menyambung nafas UMNO yang cukup nazak di zaman PH berkuasa.
Bersatu menyedari keadaan ini, namun mereka tidak mempunyai banyak pilihan. Memilih untuk kembali bersama dengan PH bukanlah suatu keputusan yang bijak kerana pengalaman mereka bersama PH cukup memeritkan.
PKR, begitu juga UMNO, selamanya takkan membiarkan Bersatu akan terus bernafas dalam politik Malaysia, malah Bersatu akan dibenam biar lemas setiap masa.
Mungkin ramai tidak perasan. Tanpa adanya Bersatu, PRU14 yang lalu takkan menjadi satu sejarah. Tanpa Bersatu, PN takkan wujud. Justeru, Bersatu, harus terus bersatu untuk merintis sejarah baru.
- Soultan Yakin merupakan pembaca MalaysiaNow.Artikel ini dipetik daripada portal berita itu.
Leave a Reply