Belia 18 tahun kini boleh jadi calon ADUN di Pulau Pinang

PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri bagi membolehkan belia berumur 18 tahun bertanding sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada pilihan raya umum akan datang.

Rang undang-undang penggubalan undang-undang Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2021 bagi penurunan had umur calon ADUN daripada 21 tahun ke 18 tahun itu dibentangkan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee.

Ia diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan oleh enam ADUN masing-masing empat dari blok kerajaan dan dua pembangkang. 

Dengan kelulusan itu, Pulau Pinang menjadi negeri ketujuh yang membenarkan belia berumur 18 tahun menjadi calon ADUN pada pilihan raya umum akan datang.

Terdahulu, negeri-negeri yang sudah meminda perlembagaan negeri masing-masing bagi maksud sama ialah Sabah (Disember 2019); Perlis (Mei 2020); Terengganu (Ogos 2020); Sarawak (November 2020); Kelantan (Disember 2020) dan Perak (Julai 2021).

Sementara itu, Lip Chee yang juga ADUN DAP Bagan Jermal berkata, Seiring dengan perkembangan pesat ekonomi, teknologi dan kemajuan pelbagai industri, penglibatan golongan muda dalam pembangunan sosial dan politik di negeri Pulau Pinang dan Malaysia amat diperlukan.

Menurutnya, mereka perlu diberi peluang untuk memainkan peranan yang kritikal dalam dasar-dasar kerajaan memandangkan merupakan generasi yang bakal menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.

“Golongan belia perlu diberi peluang dan platform yang optimum untuk meningkatkan kesedaran politik serta menitikberatkan pandangan dan suara golongan ini,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu pada sidang DUN di sini hari ini. 

Tambah beliau, berikutan perkembangan sosial dan demokrasi di seluruh dunia juga, maka golongan belia Pulau Pinang terdorong untuk turut diberi hak menjadi calon ADUN seawal usia 18 tahun.

Katanya, langkah itu mampu memberi peluang, ruang dan suara kepada mereka untuk sama-sama berganding bahu mencorak demokrasi negara melalui pilihan raya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *