BAYARAN Bantuan Khas Covid-19 (BKC) yang sepatutnya dilaksanakan pada Ogos lalu akan dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai Isnin ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, beliau telah mengarahkan Kementerian Kewangan menyegerakan pembayaran BKC yang dijangka selesai pada 10 September.
‘’Hari ini dana berjumlah RM3.1 bilion telah disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan. Proses pengkreditan Fasa 1 akan bermula pada 6 September 2021 dan dijangka selesai pada 10 September 2021,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, BKC akan memanfaatkan seramai 10 juta penerima yang terdiri daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan bujang yang berkelayakan.
‘’BKC merupakan sebahagian daripada inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), selain bayaran tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi. Pada 28 Jun 2021, kerajaan telah mengumumkan Pakej PEMULIH sebagai antara inisiatif pemberian bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam mengharungi kesan akibat pandemik Covid-19. Pembayaran seterusnya akan dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan,’’ katanya.
Ismail Sabri berkata, beliau sentiasa peka terhadap keluh-kesah rakyat dan berharap pembayaran BKC ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19.
‘’Kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya kumpulan sasar,’’ katanya.

Berdasarkan jadual yang disertakan dalam kenyataan tersebut untuk Fasa 1 kategori Miskin tegar, bagi Isi rumah yang menerima RM1,300, mereka akan menerima RM500 manakala baki RM800 lagi akan dikreditkan Fasa 2 (RM500) dan Fasa 3 (RM300).
Bagi warga emas yang menerima RM500. Sebanyak RM200 akan dikreditkan dalam Fasa 1 manakala RM300 pada Fasa2. Untuk bujang, mereka akan menerima RM200 pada Fasa 1 dan RM300 dalam Fasa 2.
Bagi kategori B40, isi rumah yang menerima RM800 akan mendapat bayaran RM500 bagi Fasa 1 dan RM300 dalam Fasa 2 manakala Warga emas dan bujang yang masing-masing menerima RM200 akan menerima bayaran tersebut pada Fasa 1.
Bagi kategori M40, isi rumah yang menerima RM250 akan menerima kesemua bayaran itu pada Fasa 1 begitu juga untuk warga emas sebatang kara dan golongan bujang akan turut menerima masing-masing RM100 pada fasa tersebut.
Leave a Reply