SEMUA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin lalu diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Ini berikutan seorang daripada mereka positif Covid-19 selepas tamat persidangan berkenaan.
Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa hanya seorang ADUN disahkan positif wabak itu setakat hari ini selain seorang jurukamera yang turut serta dalam sesi persidangan itu.
Difahamkan, wakil rakyat disahkan positif selepas demam sejak malam Isnin lalu sebelum menjalani ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) Covid-19.
Katanya, buat masa ini penilaian risiko sedang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak yang dijangka selesai hari ini.
“Bila selesai penilaian risiko, baru akan tahu keputusan yang mana harus menjalani ujian calitan, yang mana hanya dikenakan kuarantin, dipakai gelang, dan sebagainya,” katanya, hari ini.
Persidangan DUN Perak berlangsung selama empat hari bermula 25 Ogos lalu.
Sebelum ini, Speaker DUN, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, sebanyak tiga ADUN Perak tidak dibenarkan menyertai persidangan itu.
Menurutnya, ini selepas seorang daripada mereka disahkan positif Covid-19 dan masing-masing seorang kontak rapat serta seorang belum menerima suntikan vaksin.
Leave a Reply