RM1 juta pemilihan umno shahrir samad

Tiada muslihat tangguh pemilihan UMNO 18 bulan

TIADA muslihat di sebalik keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan.

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, arahan terdahulu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebelum ini mungkin tidak dapat dilaksanakan berikutan situasi COVID-19 yang masih belum reda.

“Tetapi kalau arahan RoS dirujuk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan, kerana pemilihan itu melibatkan beratus ribu ahli satu negara, ia akan tertangguh juga sehingga keadaan mengizinkan.

“Sudahpun tertangguh beribu mesyuarat agung koperasi atas arahan Suruhanjaya Koperasi. Ini sebagai satu contoh,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Pada masa yang sama, beliau berharap agar pemimpin-pemimpin UMNO yang sebelum ini tewas menggunakan pemilihan parti akan datang untuk menebus kekalahan mereka.

“Dalam ‘kluster yang menang’ ada juga yang berada dalam ‘kluster yang kalah’. Menang sebagai wakil rakyat tapi kalah sebagai wakil parti.

“Semua sebenarnya sementara atau ‘interim’ pun. Parlimen ada hayatnya dan kepimpinan parti pun ada hayatnya,” jelasnya.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan Ibu Pejabat UMNO telah menerima surat daripada ROS yang memutuskan bahawa keputusan penangguhan pemilihan UMNO untuk penggal 2021/2023 telah dibuat secara teratur.

Sehubungan itu katanya, pemilihan jawatan UMNO untuk MKT, bahagian dan cawangan adalah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kepada ROS iaitu sebelum 29 Disember 2022.

“Pada lewat petang 30 Ogos 2021, saya telah menerima surat daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) / Ketua Pengarah Tn Hj Jasri Kasim, rujukan surat PPM/WKL 251/88 JLD. 11 (1).

“Berdasarkan semakan kepada keterangan dan dokumen tambahan yang telah saya dan peguam UMNO berikan pada 9 Ogos, 11 Ogos, 18 Ogos dan beberapa keterangan Ahli MKT pada 24 Ogos, adalah didapati bahawa keputusan penangguhan pemilihan UMNO untuk penggal 2021/2023 telah dibuat secara teratur,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Walaupun begitu, katanya, mesyuarat tahunan untuk cawangan, bahagian dan Perhimpunan Agung (tanpa pemilihan) dengan kehadiran 1/4 korum masih perlu diadakan pada tarikh dalam 2021 ini dan tarikh-tarikhnya akan dimaklumkan kemudian.

Sehubungan itu, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang bersabar dalam hal tersebut termasuklah ROS yang memberikan kerjasama kepada UMNO.

“Terima kasih diucapkan kepada Presiden, Timbalan, Naib-naib Presiden, Ahli MKT kerana memberi panduan dan juga kepimpinan UMNO serta ahli yang sabar dan tabah melalui episod yang berlaku.

“Terima kasih kepada KP ROS dan pegawainya yang telah memberikan kerjasama baik di sepanjang semakan dan pertemuan kami.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *