Pulau Pinang terima 20,000 vaksin sumbangan Selangor hari ini

Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

KERAJAAN Negeri Pulau Pinang hari ini menerima sebanyak 20,000 dos vaksin Covid-19 yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor bertujuan menampung keperluan vaksin negeri itu.

Sumbangan vaksin itu mampu memendekkan masa menunggu kira-kira 10,000 penduduk Pulau Pinang untuk melengkapkan dos vaksinasi masing-masing.

Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, sumbangan vaksin itu merupakan tanda solidariti antara kedua-dua buah kerajaan negeri dalam memerangi pandemik Covid-19.

Menurut beliau, setakat semalam seramai 1.14 juta warga Pulau Pinang ketika ini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin iaitu mewakili 64.4 peratus populasi dewasa manakala 55.7 peratus lagi telah lengkap menerima dua dos vaksin.

Jelasnya, kadar vaksinasi di Pulau Pinang itu masih rendah jika dibandingkan dengan inokulasi di Lembah Klang iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor yang mana telah mencapai 81.4 peratus dos pertama manakala 91.1 peratus telah lengkap divaksin.

“Sehubungan itu, bagi mempercepatkan kadar vaksinasi Covid-19 dan memutuskan rantaian penularan pandemik di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri Selangor pada 19 Ogos lalu telah mengumumkan hasrat untuk meminjamkan stok 500,000 vaksin SelVAX kepada negeri-negeri lain (termasuk Pulau Pinang),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima bekalan vaksin itu daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di SP Arena di Seberang Jaya, hari ini.

Sementara itu Amirudin berkata, pihaknya mengambil inisiatif menyumbang bekalan vaksin tersebut kepada negeri-negeri yang berdepan lonjakan kes Covid-19 memandangkan Selangor juga pernah berdepan situasi sama.

Jelasnya, Selangor berjaya mengurangkan kadar pesakit Covid-19 yang mendapatkan rawatan di hospital iaitu daripada 130 peratus kepada sekitar 88 peratus penggunaan katil sahaja dalam tempoh sebulan selepas program vaksinasi diadakan secara menyeluruh.

“Justeru kita harap sumbangan ini dapat mengurangkan bilangan peningkatan kes positif Covid-19 dalam kalangan penduduk selain membantu negeri-negeri yang berdepan masalah kelewatan bekalan vaksin,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *