Pulau Langkawi dibuka semula 16 September ini

Oleh RIZQI ZABIDI

PULAU Langkawi dijangka akan kembali dibuka untuk sektor pelancongan bermula 16 September depan, bersamaan dengan sambutan Hari Malaysia.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keadaan itu bagaimanapun bergantung kepada laporan kemajuan disediakan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah.

“Soal vaksinasi telah selesai namun kita berdepan masalah dengan jumlah kes harian. Kalau kes harian dapat diturunkan di bawah 10, kita akan buka Langkawi dengan prosedur operasi standard (SOP) ditentukan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Semalam saya ada mesyuarat khas bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan kita menjangkakan Langkawi dapat dibuka pada 16 September depan. Alangkah baiknya jika kita dapat membuka Langkawi pada sambutan Hari Malaysia itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengunjungi Pusat Operasi Bencana Perikatan Nasional (PN) Yan di Kampung Acheh, Yan, hari ini.

Semalam Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan, Langkawi disasarkan untuk menjadi destinasi pelancongan pertama dibuka kepada orang ramai sekali gus membantu meningkatkan tahap sosio ekonomi yang terjejas akibat Covid-19.

Menurut Nancy, pulau legenda itu menjadi pilihan kerana lokasinya yang tertumpu dan tertutup sekali gus menjadikannya mudah dikawal.

Muhammad Sanusi menambah, bagi pihak kerajaan negeri pihaknya sudah pun melakukan beberapa persediaan termasuk dari aspek pengangkutan ke Langkawi.

“Setakat ini kita sudah tentukan 10 trip Feri ke Langkawi dalam tempoh sehari sekiranya pulau itu dibuka iaitu enam dari Kuala Perlis dan empat dari Kedah selain 10 trip penerbangan sehari.

“Semua itu sudah diaturkan dan kerajaan negeri amat mengharapkan kerjasama serta bantuan semua pihak agar usaha ini dapat berjalan lancar,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *