Pesara maut dilanggar motosikal

Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

SEORANG lelaki warga emas meninggal dunia selepas dilanggar sebuah motosikal semasa dia melintas jalan di Jalan Kuala Krai, dekat Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, mangsa, Muhammad Jusoh @ Yusoff, 72, yang juga seorang pesara kerajaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, lelaki warga emas tersebut dipercayai telah melintas jalan secara mengejut di kawasan bukan lintasan pejalan kaki untuk ke kedai farmasi.

Pada masa sama katanya, seorang pemuda berusia 22 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y125ZR dari arah Kota Bharu ke Tanjong tidak sempat mengelak, lalu melanggar mangsa.

“Berikutan itu mangsa yang berasal dari Kampung Lubok Jambu disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Rahim memberitahu, mangsa mengalami patah kaki kanan dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut diminta hadir ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu bagi membantu siasatan,” ujar beliau
.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *