Oleh MOHD LAZIM ENDUT
LAGI Kes mangsa penipuan scammer, kali ini melibatkan seorang penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) mengalami kerugian sebanyak RM11,739 selepas terpedaya dengan sindiket yang menawarkan pekerjaan sambilan di platform e-dagang.
Kejadian dikatakan bermula pada Jumaat lalu selepas mangsa berusia 21 tahun melayari laman sosial Facebook (FB) sebelum terpadang satu iklan tawaran kerja.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof, mangsa yang tertarik dengan pekerjaan itu kemudian bertindak menghubungi satu nombor dan telah berurusan dengan seorang wanita dikenali sebagai Miss Syahliza.
Beliau berkata, suspek mendakwa dirinya sebagai pemilik kepada sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan secara dalam talian dan ingin membantu peniaga kecil.
Justeru katanya, mangsa diberikan taklimat mengenai pekerjaan sebagai ejen pembelian dalam talian dan turut dijanjikan dengan bayaran komisen sebanyak 10 peratus apabila berjaya menyelesaikan setiap tugasan.
Kemudian katanya, mangsa diminta agar melakukan tugas pembelian sepertimana diarahkan.
“Tanpa berfikir panjang, mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM11,739 ke dalam beberapa akaun diberikan suspek melalui pindahan wang secara dalam talian untuk membolehkan aktiviti penjualan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Namun selepas itu ujar Mohd. Wazir, sebaik sahaja wang dimasukkan, suspek gagal dihubungi mangsa.
Menurut beliau, berikutan itu mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, semalam.
“Berdasarkan siasatan, modus operandi digunakan adalah memperdaya mangsa menerusi panggilan sehingga menyebabkan mangsa kerugian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun selain sebatan dan denda,” jelas beliau.
Leave a Reply