Mati di lantai hospital, Pengarah Kesihatan Kedah nafi biarkan sahaja

Oleh RIZQI ZABIDI

PENULARAN klip video memaparkan seorang warga emas berada dalam lemah hingga akhirnya meninggal dunia di lantai wad di sebuah hospital di Sungai Petani, Kedah, seperti yang tular di media sosial semalam, sama sekali tidak menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Othman Warijo berkata, kejadian itu sebenarnya berlaku semalam sewaktu petugas di wad berkenaan baru saja menanggalkan pakaian perlindungan diri (PPE) setelah selesai melakukan rondaan di situ kira-kira pukul 1.45 petang.

“Namun pada pukul 2.25 petang, petugas wad diberitahu oleh pesakit lain bahawa individu berkenaan jatuh dari katil.

“Pegawai perubatan kemudiannya bergegas memakai PPE lengkap yang mengambil masa kira-kira lima minit dan terus memeriksa keadaan pesakit. Namun pesakit tidak lagi menunjukkan tanda-tanda masih hidup.

“Pesakit itu kemudiannya dinaikkan semula ke katil dan disahkan meninggal dunia akibat ‘Severe Covid-19 Penumonia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Penularan klip video itu semalam turut disertakan dengan mesej yang mendakwa pesakit tersebut tidak dipedulikan selama hampir setengah jam manakala doktor dan jururawat pula bersikap sambil lewa dan leka apabila diberitahu mengenai kejadian itu oleh pesakit lain.

Mengulas lanjut Othman berkata, lelaki itu telah dimasukkan ke wad Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani pada 26 Ogos lalu setelah dirujuk oleh Pusat Penilaian Covid-19 Kuala Muda.

“Pesakit itu mempunyai sejarah beberapa penyakit kronik dan menghidap Covid-19 kategori empat yang memerlukan bantuan oksigen.

“Sepanjang berada di wad, keadaan pesakit kurang stabil dan memerlukan tekanan oksigen yang semakin tinggi.

“Dia bagaimanapun kelihatan tidak selesa dengan alat bantuan oksigen dipakaikan menyebabkan dirinya dipantau dengan lebih kerap oleh petugas kesihatan yang bertutur dalam bahasa ibundanya bagi memantapkan komunikasi,” katanya.

Jelasnya, pakar perubatan telah bertemu dengan ahli keluarga pesakit petang semalam bagi menjelaskan situasi sebenar.

“Ahli keluarga pesakit sememangnya sedia maklum mengenai keadaan pesakit yang kian merosot sebelum itu dan menerima baik penjelasan diberikan hospital,” ujarnya.

Othman dalam pada itu turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan menzahirkan rasa kesal terhadap penularan klip video tersebut.

“Penularan klip video ini tidak sepatutnya berlaku dan kami memohon masyarakat umum menghormati ahli keluarga mendiang dan menghentikan penularannya.

“Jabatan ini juga akan menjalankan siasatan lebih mendalam mengenai insiden ini dan akan melakukan penambah baikan diperlukan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *