Belanjawan 2022 tumpu lindungi, pulih kesihatan, ekonomi rakyat

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

BELANJAWAN 2022 dirangka berdasarkan tiga keperluan utama dan turut mengambil kira jangkaan situasi ekonomi yang akan pulih daripada kesan pandemik Covid-19 pada tahun depan.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan Pra-Belanjawan 2022 memberitahu, pertama, meneruskan program bantuan dan sokongan untuk memastikan pemulihan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap kesihatan awam dan struktur ekonomi.

Menurut MOF, langkah itu selaras dengan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kedua, menentukan kesinambungan dasar. Bantuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan agar kekal berdaya tahan dalam menghadapi krisis bagi terus melindungi mata pencarian, kehidupan rakyat dan perniagaan.

“Ketiga memangkin pembaharuan pasca-pandemik supaya negara mampu bangkit dengan lebih perkasa dan berdaya saing serta berteraskan pembangunan negara yang lebih terangkum dan mampan

,” demikian menurut kenyataan tersebut, hari ini.

Secara keseluruhan belanjawan itu akan memberi fokus untuk terus melindungi, memulihkan kehidupan, mata pencarian rakyat dan perniagaan.

“Begitu juga membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan pasca-pandemik Covid-19,” tambah MOF.

Mengulas lanjut, MOF memaklumkan, Belanjawan 2022 akan berusaha untuk memastikan tiada pihak yang tercicir dalam menerima bantuan dan sokongan kerajaan sama ada rakyat mahupun perniagaan terutamanya pihak yang terjejas teruk disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan tahun ini.

Pada masa sama, MOF memaklumkan Belanjawan 2022 akan disejajarkan bersama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang bakal dibentangkan di Parlimen pada September ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *