Oleh MOHD LAZIM ENDUT
SEORANG warga emas yang baru tamat tempoh kuarantin Covid-19 maut apabila ambulans dinaikinya hilang kawalan lalu terbabas ke dalam longkang di Kilometer 21 Jalan Pekan-Batu Balik, Pahang, petang semalam.
Mangsa, Husin Abd. Hamid, 74, dari Felda Chini Timur 1, Pekan disahkan meninggal dunia pada pukul 10.20 malam hari yang sama ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Pekan.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud, kemalangan dipercayai berlaku pada pukul 4.15 petang ketika ambulans yang dalam perjalanan menghantar mangsa yang baru tamat tempoh kuarantin di hospital tersebut pulang ke rumahnya di Felda Chini.
Beliau memberitahu, sebaik tiba di lokasi kejadian ambulans berkenaan dikatakan terbabas ketika melalui jalan yang sedang dinaik taraf.
“Ekoran kemalangan tersebut, menyebabkan pemandu ambulans, Zulkafli Yasin, 50, mengalami sakit dada dan seorang jururawat, Nurul Shaqima Hidayah Abdul Jamal dilaporkan cedera di bahagian belakang.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, ambulans tersebut dalam perjalanan menghantar mangsa pulang ke rumahnya di Felda Chini Timur I.
“Mangsa yang menjalani kuarantin di Hospital Pekan setelah disahkan kontak rapat dengan pesakit Covid-19 di mana mangsa turut menghidap asma kronik,” ujarnya.
Menurut beliau, kejadian berlaku mungkin disebabkan keadaan jalan agak berbatu kerana sedang dalam proses dinaik taraf.
Katanya, bedah siasat ke atas mangsa akan dilakukan selepas laporan ujian Covid-19 diterima dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Leave a Reply