Wanita bermisai, berjanggut seperti lelaki

by

in

Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

KEHIDUPANNYA sentiasa dibelenggu masalah, selain kegagalan dalam rumahtangga, dia juga menghidap penyakit angin ahmar disamping sejenis penyakit ganjil dan aneh, iaitu wajahnya ditumbuhi misai dan janggut seperti seorang lelaki.

Begitulah keperitan hidup yang terpaksa dihadapi seorang warga emas, Che Halimah Che Mood, 62, dari Kampung Batu Karang, Pasir Mas, Kelantan.

“Saya bukan lelaki tetapi wanita tulen,” ujarnya seperti dilaporkan Harian Metro.

Menurut Che Halimah, dia dianggap berwajah ‘pelik’ kerana memiliki misai dan janggut.

Ceritanya, dia diserang angin ahmar sejak lapan tahun lalu, tetapi penyakit ditumbuhi misal dan janggut telah membelenggu hidupnya sejak di usia awal 20-an lagi, menyebabkan dia terpaksa bercukur dua atau tiga kali seminggu agar kelihatan seperti wanita biasa.

“Mak cik sudah berjumpa doktor untuk mengetahui punca masalah dan disahkan mempunyai kadar hormon testosteron yang tinggi.

“Selama berpuluh tahun mak cik terpaksa bercukur supaya tidak dipandang aneh oleh masyarakat sekeliling.

Tetapi, keadaan mak cik bertambah teruk setelah diserang angin ahmar sehingga separuh badan sebelah kiri mak cik lumpuh,” ujarnya.

Che Halimah sebelum ini pernah berhadapan dengan kegagalan berumahtangga sebanyak dua kali.

“Mak cik tidak mempunyai anak untuk menumpang kasih, cuma bergantung kepada adik, Mohammad Kamaruddin Abdullah, 42, dan isterinya, Nur Asmira Che Hussin, 36, yang sanggup menjaga makan dan minum mak cik dan ibu yang sudah tua, Kalsom Mamat, 93.

Sekarang katanya, Nur Asmira lah yang membantu mencukur misai dan janggutnya sekali atau dua kali seminggu agar tidak panjang seperti lelaki.

Terdahulu, Che Halimah dikunjungi wakil Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar yang menyampaikan sumbangan kewangan, barangan keperluan serta lampin pakai buang kepadanya.

Menurut Che Halimah, dia mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan, digunakan untuk membeli keperluan lampin pakai buang dengan kos RM250 sebulan.

“Ketika masih sihat dan kuat, mak cik banyak merantau mencari rezeki termasuk pernah bekerja di Singapura sebagai tukang masak restoran di sana.

Sebolehnya, mak cik tidak mahu menyusahkan orang sekeliling, tetapi apakan daya mak cik diuji dan kini hanya mampu terbaring sahaja.

“Sebelum ini, mak cik tidak pernah menceritakan maslah ini kepada orang lain, kecuali keluarga terdekat sahaja,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *