Suspek kes rogol, liwat wanita hingga maut direman seminggu

Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

SUSPEK yang disyaki terlibat dalam kejadian rogol dan liwat sehingga menyebabkan seorang wanita berusia 40 tahun maut di sebuah rumah di Taman Seruling Emas, Nibong Tebal, Pulau Pinang ditahan reman selama seminggu bermula semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, suspek berusia 29 tahun itu direman sehingga Sabtu ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Ujarnya, suspek sebelum itu ditahan kira-kira pukul 10 malam semalam selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu kelmarin.

Terdahulu, polis semalam turut membawa semula suspek ke lokasi kejadian dipercayai bagi mengumpul maklumat lanjut.

Suspek yang mengenakan baju lokap sambil diiringi polis itu dilihat beredar dari kediaman teres dua tingkat tersebut dengan sebuah kereta polis sejurus siasatan selesai kira-kira pukul 2 petang.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam kelmarin, seorang wanita ditemui mati dalam keadaan tragis selepas dipercayai dirogol dan diliwat sebelum mayatnya disorokkan di bawah katil di rumah teres dua tingkat di Taman Seruling Emas.

Siasatan awal polis mendapati suspek dipercayai memecah masuk melalui tingkap belakang rumah mangsa kira-kira pukul 2 pagi sebelum merogol dan meliwat mangsa yang sedang tidur di dalam bilik di tingkat bawah.

Suspek juga mendakwa menyumbat seluar dalam mangsa ke dalam mulut dan menutup mulutnya dengan tangan selepas mangsa menjerit dan melawan.

Selepas mendapati mangsa tidak bergerak dan disyaki telah meninggal dunia, suspek mendakwa menarik mayatnya dan disembunyikan di bawah katil.

Selain itu, suspek turut mengaku mengambil sebuah telefon bimbit, wang tunai dan loket milik mangsa sebelum keluar dari rumah itu, namun telah membuangnya ke dalam sungai.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *