Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KEGIATAN satu sindiket menjadikan sebuah premis di Lorong Hajah Saonah, Kampung Parit Banyu Mas, Parit Yan, Batu Pahat, terbongkar apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam melakukan serbuan semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superitendan Dimin Awang berkata, sepasukan pegawai dan anggotanya melakukan serbuan pada jam 6 petang serta menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun.
“Antara rokok seludup yang berjaya dirampas melibatkan 250 karton John D Blend 20 batang; 150 karton John JGI 25 batang; 125 karton John White 25 batang; 25 karton John British 20 batang; 50 karton Canyon Premium Red 20 batang dan 200 karton Canyon Mentol Hijau 20 batang.
“Ini termasuk 100 karton rokok Gudang Garam 12 batang; 50 karton rokok Gudang Garam 16 batang; 120 karton rokok Nusantara Hijau 12 batang; 40 karton rokok Nusantara Merah 12 batang dan 75 karton Dji Sam Soe 234 Fatsal 5 12 batang.
“Selain itu 10 karton Dji Sam Soe Super Premium 12 batang; 60 karton rokok Sampoerna 16 batang; lapan karton Canyon Blast 20 batang dan 30 karton RE Bold 16 batang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, hasil siasatan awal terhadap suspek dipercayai menjadikan premis tersebut sebagai stor penyimpanan sementara rokok seludup sebelum diedarkan untuk pasaran sekitar daerah Batu Pahat dan Yong Peng.
Beliau berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM234,306, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.
“Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai sekitar daerah Batu Pahat dan Yong Peng,” katanya.
Dimin menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi jalan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280.
Leave a Reply