Peruntukan khas bangunkan vaksin sendiri:Zakaria

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KERAJAAN perlu menyediakan peruntukan khas untuk membangunkan vaksin sendiri yang merupakan satu keperluan ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, sudah sampai masanya Malaysia menghasilkan vaksin sendiri yang dijamin selamat, serasi dan sesuai untuk rakyatnya.

“Jika kita membangunkan vaksin sendiri ini secara tidak langsung akan menjimatkan kos import vaksin luar selain meyakinkan rakyat kita sendiri untuk mengambil vaksin.

“Usaha ini juga akan menjamin bekalan vaksin yang cukup untuk keperluan negara malah boleh dieksport jika berlebihan. Selain itu kita tidak tahu sama ada bekalan vaksin import cukup atau tidak pada masa akan datang.

“Secara tidak langsung ini akan menjadi satu persediaan kepada Malaysia jika berlaku apa-apa terhadap bekalan vaksin dunia,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan kepada petugas barisan hadapan di Kampung Orang Asli Kuala Masai di sini semalam.

Kampung tersebut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 25 Ogos lalu sehingga 8 September ini selepas lebih 200 masyarakat Orang Asli di kampung itu positif Covid-19.

Kelmarin, Perdana Menteri berkata, Malaysia boleh mengeluarkan vaksin sendiri seperti Thailand kerana Covid-19 akan menjadi endemik dan akan berada di persekitaran seperti denggi menyebabkan vaksin masih diperlukan.

Susulan itu bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba yang akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada hari ini berkata, pihaknya yakin negara mempunyai tenaga pakar serta saintis yang berupaya menghasilkan vaksin sendiri.

Mengulas lanjut, Che Zakaria berkata, Malaysia boleh merujuk negara-negara Asia seperti China, Thailand dan India yang menghasilkan vaksin sendiri atau mendapat bimbingan negara lain yang sudah berjaya menghasilkannya.

Beliau berkata, hasrat kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok juga akan segera tercapai dengan adanya bekalan vaksin sendiri.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua pelan yang akan dan sedang dilaksanakan untuk memerangi Covid-19 semasa kerajaan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar diteruskan.

Jelasnya, ini kerana Muhyiddin dan Kabinet terdahulu membuat perancangan teliti dan bertanggungjawab dalam memerangi pendemik tersebut serta bukan dibuat secara semborono sebaliknya dirangka secara komprehensif untuk jangka masa panjang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *